Header Ads

Kejayaan Dipamer Usaha Saya - Mukhriz



ALOR SETAR - Sebahagian besar kejayaan kerajaan negeri yang dipamerkan di Ekspo Muafakat Kedah adalah hasil usaha sejak 2013 bukannya dalam tempoh 2016 sehingga kini.

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kebanyakan perancangan dilakukan sejak 2013 dan setiap projek dicadangkan mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk dilaksanakan.

“Banyak yang saya lihat kejayaan dipamerkan adalah hasil usaha sewaktu saya jadi Menteri Besar Kedah. Bermakna tak boleh dianggap sebagai kejayaan pemimpin baru, yang ambil alih hari ini dan esoknya mengambil kredit atas kejayaan yang dibuat,” katanya selepas meninjau Ekspo Muafakat Kedah.

Loading...


Menurutnya, kebanyakan janji yang dibuat sebelum ini memerlukan masa untuk direalisasikan, bukannya berlaku dalam tempoh singkat, lapor Sinar Harian.

“Sama seperti di peringkat nasional, banyak kejayaan dalam negara adalah hasil usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun beliau berkhidmat,” katanya.

Mukhriz berkata, kebanyakan kejayaan yang diuarkan itu juga lebih kepada janji yang ditabur untuk PRU14.

“Janji sebelum ini pun masih ada belum tertunai, sebab itu saya katakan ia bayangan janji sekadar untuk umpan rakyat Kedah agar terus bagi sokongan kepada BN. Jika setakat janji, tiada bezanya dengan apa yang kami boleh tawarkan,” katanya.

Mengulas kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyempurnakan majlis penutupan Ekspo Muafakat pada 3 Mac depan, katanya, sudah pasti akan ada lagi pengumuman untuk pancing undi rakyat Kedah.

“Harap ada lagi pengumuman yang diterjemah sebagai janji PRU14. Rakyat pun tahu apa tujuannya, untuk raih sokongan undi. Saya percaya rakyat Kedah bijak buat penilaian sewajarnya siapa yang patut mereka pilih kelak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengambil sikap tidak endah terhadap persepsi negatif mengenai Ekspo Muafakat Kedah.

“Apa yang penting, hasrat kita untuk tunjukkan kepada rakyat apa yang kita sudah lakukan selama ini, termasuk sedang dalam perancangan. Pada masa sama, kita bawa pelbagai peluang bawah satu bumbung untuk manfaat banyak pihak,” katanya.

Ahmad Bashah turut mengambil sikap terbuka dengan komen dipaparkan di ruang Suara Hati Rakyat yang sebahagiannya tidak memihak kepada BN.

“Saya tahu ada yang tulis mahu tukar kerajaan termasuk tukar menteri besar, biasalah ia suara orang ramai. Sebenarnya pembangkang pun nak tahu apa yang kita lakukan dan akan bangkang sebab itu memang kerja dia,” katanya.

No comments

Loading...