Header Ads

Dr M Dulu Pun Umum Projek Waktu Dekat PRU - Mahdzir



LANGKAWI – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menempelak kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan pengumuman projek pembangunan di Langkawi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Beliau yang juga mantan Menteri Besar Kedah menegaskan bahawa bekas perdana menteri itu turut berbuat perkara sama termasuk setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) semasa menerajui tampuk pemerintahan negara.

“Kalau Tun Mahathir kata ini janji (pilihan raya umum) untuk orang Langkawi, saya ingat masa dia jadi perdana menteri selama 22 tahun dulupun dia buat benda sama macam itu juga,” katanya.


Loading...

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi di sini.

Mahdzir berkata apabila ada bajet sudah tentu Najib selaku perdana menteri akan mengumumkan projek untuk manfaat rakyat.

“Sebenarnya kerajaan dari dulu sampai sekarang ini (apabila) hendak membuat (laksana) sesuatu (projek) tidak menunggu pilihan raya. Bila sahaja ada peruntukan (terus) kerajaan akan buat… tak timbul soal ini kira dah dekat dengan (pilihan raya umum), (baru) nak umum,” katanya.

Mahdzir dalam rangka lawatan kerja sehari di pulau peranginan ini berkata tahap pembangunan dicapai di Langkawi masa kini tidak mungkin dapat dikecapi jika setiap projek pembangunan dilaksanakan hanya apabila dekat PRU.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kementeriannya sedang dalam proses mengenal pasti dua buah sekolah di sini untuk menjadi perintis bagi memulakan transaksi tanpa tunai.

Katanya proses transaksi tanpa tunai itu untuk menerapkan kesedaran tentang Revolusi Perindustrian Peringkat Keempat (IR 4.0) dalam kalangan pelajar dan pendidik.

Beliau turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan RM2.5 juta untuk sekolah-sekolah seliaan kementerian di daerah ini, lebih 400 unit katil untuk asrama Kolej Vokasional, penambahbaikan kuarters guru dan peruntukan bilik mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah di sini. – BERNAMA

No comments

Loading...