Header Ads

Loading...

Bersatu Buka 8 PDM Di Dun Bagan Pinang


PORT DICKSON - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Telok Kemang akan membuka lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dun Bagan Pinang dalam masa terdekat.

Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Bagan Pinang, Khairol Bathreen Abu Hassan Asaari berkata, ini adalah sebahagian daripada persiapan Bersatu dalam usaha menawan Dun Bagan Pinang dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU 14) tidak lama lagi, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, setakat ini dua PDM telah di buka, yang pertama di buka pada pertengahan Januari lalu di Telok Kemang dan yang kedua malam tadi, di Kampung Bagan Pinang.

Loading...


"Enam lagi PDM akan dibuka dalam masa terdekat iaitu di Ladang Atherton, Ladang Bradwall, Pekan Siliau, Kampung Si Rusa, Sunggala dan Sua Betong," katanya.

Khairol Bathreen berkata, dalam PRU nanti Bersatu akan bertanding di Dun Bagan Pinang dan dijangka akan mewujudkan pertandingan tiga penjuru, bersama Umno dan Pas.

"Bersatu optimis akan merampas Dun Bagan Pinang daripada Umno dan kejayaan pertama kita adalah apabila berjaya mengeluarkan Dun Bagan Pinang sebagai kawasan hitam.

"Sebelum ini memang, Dun Bangan Pinang bagi Bersatu adalah kawasan hitam dan melihat Umno mempunyai kelebihan di sini.

"Namun selepas kita bergerak dan melakukan soal selidik, sokongan pengundi terhadap Umno tidak lagi sekukuh dalam PRU sebelum ini. Saingan kuat memang akan berlaku, tapi Bersatu akan menang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penubuhan PDM Kampung Bagan Pinang.



Hadir menyempurnakan majlis, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Sembilan dan merangkap Naib Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Bakly Baba. Hadir sama Ketua Penyelaras Bersatu Parlimen Bahagian Telok Kemang, Ramli Awang.

Khairol Bathreen berkata, PDM Kampung Bagan Pinang akan terus rancak menggerakkan jentera parti mengadakan siri ceramah berkelompok.

"Pada majlis pembukaan PDM Kampung Bagan Pinang, sekitar 70 ke 80 orang hadir dan sebagai permulaan itu adalah satu jumlah yang tinggi," katanya.

No comments

Loading...