Header Ads

Loading...

Zaman Tun M Juga Ada Pengangguran


SERDANG - Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyanggah dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak menyediakan peluang pekerjaan secukupnya kepada graduan universiti.

Beliau berkata, terdapat pelbagai projek infrastruktur yang sedang giat dijalankan di negara ini, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada graduan.

“Pelbagai projek pembangunan seperti bina lebuh raya, kereta api laju dan Tun Razak Exchange (TRX) sedang berjalan ketika ini, takkan tak pakai pekerja?

“Banyak peluang pekerjaan ditawarkan oleh syarikat ini. Kalau tak ada kerja, takkan ramai pekerja yang bekerja dalam projek ini,” katanya selepas Majlis Amanat Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Maeps di sini, semalam.


Loading...

Menurutnya, hanya segelintir graduan yang memilih pekerjaan, di mana mereka tidak mahu bekerja sekiranya tidak mendapat pekerjaan diidamkan.

Beliau berkata, graduan perlu mencontohi warga asing yang sanggup datang untuk mencari rezeki di negara ini meskipun bekerja di dalam keadaan kotor dan panas.

“Di pusat beli-belah, ada sahaja kedai yang mencari pekerja jualan. Itu pun ada yang tidak mahu bekerja walaupun pusat beli-belah selesa dan berhawa dingin.

“Peluang pekerjaan banyak di negara ini. Kalau tak banyak, mengapa ramai warga asing yang datang ke negara ini?,” soalnya.

Tajuddin berkata, di zaman Mahathir juga ada graduan yang menganggur dan bersikap memilih kerja seperti sekarang.

Menurutnya, kenyataan Mahathir hanya untuk menghasut rakyat bagi membenci kerajaan kerana beliau kini bersama pihak pembangkang.

“Jadi, apa yang dikatakan oleh Mahathir itu tidak betul. Banyak peluang pekerjaan di Malaysia sekarang ini.

“Masa beliau menjadi perdana menteri, ramai juga yang menganggur kerana memilih pekerjaan,” tegasnya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...