Header Ads

UiTM Bayar RM8,000 Elak Daripada Disita


SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melanjutkan tarikh untuk tindakan menyita Universiti Teknologi MARA (UiTM) disini selepas peguam caranya membayar kos sebanyak RM8,000 melalui cek kepada Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd.

Peguam bela Mutiara Gemilang, Nur Aliah Selamat berkata, tindakan mahu menyita sebelum ini diambil berikutan kegagalan UiTM dalam dalam permohonan membatalkan saman Mutiara Gemilang Engineering.

“Ia adalah jumlah penghakiman bertarikh 2 Ogos 2017 dan 20 November 2017. Kami telah meminta pihak peguam cara UiTM memberikan jumlah RM8,000 kepada pihak kami seawal November 2017 namun tidak dibayar

“Namun kira-kira 9.10 pagi pihak kami telah mendapat satu cek penyelesaian daripada peguam cara UiTM (defendan) untuk jumlah RM8,000 itu.


Loading...

“Untuk penyitaan itu telah dilanjutkan tarikhnya oleh mahakamah selama empat hari dan mahkamah akan tetapkan tarikh baru, jadi kita kena tunggu sampai cek itu ditunaikan,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, UiTM didapati ingkar membayar kos tersebut sebanyak RM8,000 kepada Mutiara Gemilang Engineering dan kegagalan itu menyebakan plaintif telah memfailkan prosiding sita dan jual sebarang barangan UiTM untuk tujuan melunaskan kos tertunggak tersebut.

Pada 20 April tahun lepas, UiTM telah menerima saman berjumlah RM40.8 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan tempatan akibat pelanggaran kontrak pembayaran.

Saman tersebut difailkan oleh Mutiara Gemilang Engineering di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menerusi tuntutan saman itu, Mutiara Gemilang Engineering dan UiTM telah membuat perjanjian projek membekal, menghantar, memasang, menguji dan mentauliahkan keseluruhan mesin dan peralatan bagi semua kursus di Kampus Baru UiTM Puncak Alam, Selangor.

Perjanjian itu melalui Surat Setuju Terima Tawaran pada 9 Disember 2010 dengan nilai kontrak RM134.5 juta.

“Berdasarkan terma-terma perjanjian projek tersebut, selepas kerja-kerja siap, prosedur pembayaran secara berperingkat perlu dibuat kepada plaintif iaitu Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd.

“Namun UiTM selaku defendan telah dengan salah, defektif, tidak sah dan melanggarkan undang-undang kerana membuat satu pembayaran berjumlah RM11 juta kepada seorang individu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

“Pembayaran salah itu telah mengakibatkan kemudaratan kewangan teruk dan serius kepada plaintif yang telah menanggung kerugian amat tinggi kerana terpaksa mencari sumber-sumber kewangan lain dengan membuat pinjaman daripada pihak-pihak ketiga dan akhirnya menjatuhkan bajet kewangan,” katanya.

Aliah bagaimanapun berkata, kes itu tidak selesai secara keseluruhan dan bayaran RM8,000 adalah sebahagian daripada kes saman UiTM berjumlah RM40.8 juta.

“Kes ini bukan selesai secara keseluruhan, jumlah RM8,000 hanya untuk penghakiman bagi dua permohonan itu, jumlah keseluruhan dalam lebih RM40 juta.

“Cuma untuk sita ini nak kata selesai atau tidak kita kena tengok kepada cek itu dapat ditunaikan atau tidak,” katanya lagi. 

Sumber: MalaysiaGazette.

No comments

Loading...