Header Ads

“Tun Razak Umpama Ikon Buat Suami Saya, Tun Mahathir” – Tun Siti Hasmah


SHAH ALAM - Isteri kepada bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendedahkan suaminya, Tun Dr Mahatir Mohamad begitu sayang malah turut terhutang budi dengan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Menurut Tun Siti Hasmah, Tun Abdul Razak merupakan ikon dan mentor kepada Tun Mahathir malah Allahyarham turut memainkan peranan penting bagi membawa masuk semula suaminya itu ke pangkuan Umno pada 1972 serta dilantik sebagai Senator pada waktu itu.

“Pada Pilihan raya umum 1974, Allahyarham Tun Abdul Razak juga membenarkan (Tun) Mahathir untuk bertanding di kerusi Kubang Pasu dan selepas itu beliau dilantik menjadi Menteri Pelajaran.


Loading...

“Tun Abdul Razak umpama ikon buat suami saya. Saya fikir beliau memanggil semula Mahathir untuk menyertai Umno kerana melihat potensi yang ada pada dirinya ketika itu,” katanya menerusi satu program bual bicara bertajuk “Jasa Tun Razak”, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai hubungan antara dua ikon negara itu, Tun Siti Hasmah berkata, Tun Mahathir sememangnya terhutang budi dengan kepercayaan diberikan oleh Tun Abdul Razak kepadanya sehingga beliau boleh menjawat jawatan sebagai perdana menteri keempat.

Beliau berkata, hubungan antara dua pihak itu dianggap rapat sehinggakan Tun Abdul Razak pernah berpesan kepada bekas Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn untuk menghubungi Tun Mahathir sekiranya berdepan sebarang masalah dalam politik.

“Malah, ketika mendapat khabar mengenai pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak, saya lihat (Tun) Mahathir sangat sedih pada waktu itu. Malah kami berdua turut ke Lapangan Terbang Subang bagi bersama-sama menantikan ketibaan jenazah,” katanya.

Mengimbau kembali mengenai detik pemergian negarawan itu, Tun Siti Hasmah berkata, kawasan pekarangan lapangan terbang berkenaan turut sesak dengan kehadiran rakyat dan pemimpin negara yang berpusu-pusu hadir bagi menyambut ketibaan jenazah tokoh kesayangan mereka tersebut.

Katanya, pada waktu itu, Tun Mahathir sedang menerima kunjungan daripada beberapa pelajar universiti dan beliau telah menerima panggilan mengejut daripada Tun Hussein yang mengarahkan untuk hadir ke kediamanya.

“Ketika tiba di sana, Tun Hussein kemudiannya membuat pengumuman itu melalui televisyen dan pada waktu itu saya dapat lihat wajah (Tun) Mahathir begitu sedih dengan pemergian mentor beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Siti Hasmah berkata, jasa Tun Abdul Razak kepada negara adalah amat besar khususnya bagi masyarakat luar bandar yang sentiasa mendapat keprihatinan daripada beliau.

Ujar beliau, Tun Abdul Razak turut memainkan peranan bagi merancang dasar-dasar berkenaan pembangunan negara termasuk melibatkan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Selepas saya lulus universiti dan bertugas sebagai pegawai kesihatan di Kedah Utara termasuk Langkawi, saya dapat lihat betapa dedikasinya Allahyarham terhadap rakyat.

“Allahyarham berjiwa rakyat dan selalu memikirkan langkah yang sewajarnya bagi menyenangkan hidup masyarakat di negara ini,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...