Header Ads

Loading...

Tun M Nafi Kata Mufti Kafir


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nafi membuat kenyataan bahawa mufti adalah kafir.

Sebaliknya, dakwa beliau, ia sengaja disalah tafsirkan bertujuan menyelamatkan diri.

“Apa yang saya kata ialah, jika mufti tidak menolak dakwaan Pas dan Amanat Hadi,  bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir, maka mufti juga akan jadi kafir kerana mereka tidak menyatakan penolakan mereka.


Loading...

“Mufti bukan sebarang orang. Mufti bertanggungjawab menasihati raja dan rakyat berkenaan agama Islam,” katanya dalam kenyataan media, menjawab tuduhan mengenai mufti kafir oleh sebuah akhbar.

Menurut Mahathir, menjadi tanggungjawab mufti memberi pendapat sama ada dakwaan Pas dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, benar atau tidak.

“Amanat Hadi dibuat kerana politik tetapi amanatnya memesongkan agama orang Islam.

“Oleh kerana mufti tidak memberi pendapat tentang pengkafiran ini, maka ramailah orang Islam percaya dan taksub dengan dakwaan Abdul Hadi dan Pas.

“Kepercayaan ini menyebabkan ada yang mendakwa ibu bapa mereka kafir, berkahwin sekali lagi, menolak makan sembelihan orang Umno (sebagai haram), sembahyang berasingan imam, mendirikan masjid sendiri dan bermacam lagi, kononnya kerajaan Malaysia kafir dan orang yang tidak menyertai Pas adalah kafir,” katanya.

Dakwa Mahathir, sehingga hari ini mufti tidak menolak dakwaan Pas dan Abdul Hadi.

Katanya, di Terengganu masih ada orang Islam yang percaya bahawa Umno dan orang lain yang tidak menyertai Pas adalah kafir.

“Mufti tidak harus terlibat dengan politik. Tetapi apabila agama diperalatkan untuk politik dengan mengelirukan orang Islam, maka menjadi tanggungjawab mufti, memberi penjelasan sama ada pendapat orang politik itu benar-benar berasas kepada Islam.

“Sehingga sekarang belum ada pendapat atau penjelasan yang dibuat oleh mufti. Jika orang bukan Pas termasuk saya dianggap kafir, maka mufti juga boleh dikatakan kafir kerana tidak menyertai Pas,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...