Header Ads

Loading...

Tun M Mungkin Mahu Terus Berkuasa


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan memiliki agenda sendiri untuk kembali berkuasa dan aktif dalam pentadbiran negara apabila memutuskan untuk menerima pelawaan menjadi calon Perdana Menteri pembangkang.

Pakar Geostrategis, Dr Azmi Hassan, berkata jika bekas Perdana Menteri ke empat itu hanya mahu menjatuhkan UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau tidak perlu menerima pelawaan itu.

"Bagaimanapun penerimaan beliau sebagai calon Perdana Menteri dianggap menyerlahkan niat tersirat mengapa beliau menongkah arus dengan UMNO.


Loading...

"Besar kemungkinan Dr Mahathir mahu aktif semula dalam pentadbiran negara kerana jika dicongak sekadar hanya mahu singkirkan UMNO, sebenarnya (Dr Mahathir) tidak perlu sampai kepada menerima pencalonan itu," katanya.

Beliau menjelaskan, agenda sulit ini yang menyebabkan wujud kesangsian dalam kalangan pemimpin dan ahli akar umbi parti pembangkang.

Beliau berkata Dr Mahathir akan memiliki kuasa yang besar dan boleh melakukan segalanya termasuk kekal dalam jawatan itu jika dilantik perdana menteri.

"Ini termasuk melaksanakan projek yang sama ada sudah dibatalkan atau diubah ketika Datuk Seri Najib Razak mentadbir.

"Jika ditinjau dari sudut politik pula sudah pasti mereka (pemimpin pembangkang) yang menyokong Dr Mahathir akan raih manfaat kemudian," katanya.

Mengulas bantahan berterusan ahli pembangkang, Azmi berkata, ia mungkin terbit dari kesangsian mereka terhadap niat dan perancangan masa hadapan Dr Mahathir sendiri apabila menjawat jawatan Perdana Menteri.

"Kesangsian sebegini timbul kerana dari awal lagi Dr Mahathir menyatakan beliau tidak berminat dengan jawatan Perdana Menteri apabila serangan terhadap Najib dimulakan.

"Tetapi kini timbul tanda tanya dalam kalangan pemimpin pembangkang sendiri apakah Dr Mahathir sedang mempergunakan pembangkang untuk bukan sahaja jatuhkan UMNO tetapi juga mahukan jawatan tertinggi negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Cheah Soon Hai, berkata Dr Mahathir adalah individu yang mahukan supaya semua orang boleh mengikut telunjuknya.

Atas dasar itulah, kata beliau, Dr Mahathir setuju dengan pelawaan supaya diangkat sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan pembangkang itu menang PRU akan datang.

Beliau menyifatkan sikap Dr Mahathir yang mahu orang lain mengikut telunjuknya itu yang menimbulkan masalah kepada pihak lain.

- BH Online

No comments

Loading...