Header Ads

Loading...

Tun M Dijangka Bertemu Anwar Esok


Tiga hari selepas dinamakan sebagai calon perdana menteri, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka bertemu Ketua UMUM PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Pertemuan itu akan berlangsung di Hospital Rehabilitasi Cheras, tempat Anwar menjalani pemulihan selepas pembedahan bahu pada November tahun lepas.

Rancangan pertemuan itu diumumkan melalui jemputan media oleh PKR hari ini.

Susulan tindakan Pakatan Harapan (HARAPAN) menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri pada konvensyen HARAPAN Ahad lalu, bekas perdana menteri itu berdepan rungutan terutama daripada beberapa kumpulan dalam PKR.


Loading...

Ketua Penerangan PKR Selangor Hizwan Ahmad menolak keputusan itu sementara Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang juga merupakan Pengerusi PKR Selangor, bertegas bahawa Dr Mahathir sebaliknya dilantik sebagai menteri kanan sahaja.

Penolakan itu dibuat meski selepas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar membacakan kenyataan Anwar yang menyatakan beliau menerima keputusan pakatan itu.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut secara spesifik nama Dr Mahathir dalam kenyataan itu.

Dr Mahathir, dalam ucapannya berterima kasih kepada Anwar dan berkata beliau terhutang budi dengan orang yang satu ketika pernah dipecatnya sebagai timbalan perdana menteri dan terlibat dalam mensabitkan tuduhan liwat dan rasuah.

Anwar dibebaskan pada 2004 selepas tuduhan liwat digugurkan namun dipenjara atas tuduhan serupa pada 2014.

Anwar mendakwa tuduhan itu bermotifkan politik sementara Putrajaya menafikan sebarang konspirasi ke atasnya.

Pemimpin reformasi itu dijangka dibebaskan dari penjara pada 8 Jun.

- Malaysiakini

No comments

Loading...
loading...