Header Ads

Loading...

Tukar Najib, Naik Mahathir Lagi Teruk

Foto: Malaysia Dateline

KOTA TINGGI - Tindakan menukar individu tidak akan mampu menjamin negara menjadi lebih baik sebaliknya dengan menukar dasarlah mampu membawa negara ke arah kebaikan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, analisa dilakukan terhadap senario politik negara mendapati terdapat dua parti yang bersedia mengubah dasar negara.

Menurutnya, semua orang tahu bahawa Pas bersama Gagasan Sejahtera mempunyai komitmen untuk mengubah polisi dan dasar negara berikutan negara sebelum ini pernah dilanda dasar yang rosak.

"Tukar individu tak menjamin negara jadi baik. Apatah lagi nak tukar (Datuk Seri) Najib, nak naikkan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad)..lagi teruk.


Loading...

"Komitmen kita mahu tukar dasar. Sebab melalui sirah nabi sendiri Baginda tunjukkan di mana semua perkara mungkar yang berlaku adalah berpunca dari kerosakan dasar.

"Apabila akidah kita betul maka akan betul ekonomi, politik, sistem sosial dan undang-undang. Sebaliknya jika akidah rosak maka semuanya akan rosak,"katanya pada sesi Dialog Perdana yang dianjurkan Pas kawasan Tenggara di Dewan Chon Moi, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Ikatan Bangsa Malaysia, Datuk Seri Badri Abd Rahman; Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dr Ann Wan Seng; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Yang Dipertua Pas Tenggara, Nazari Mokhtar.

Tuan Ibrahim berkata, manusia tidak boleh atur hidup dalam kerangka manusia sebaliknya manusia mestilah duduk didalam satu sistem di mana kerangkanya adalah pencipta manusia.

"Sebab itu dalam Pas kita gerakan perubahan bahawa kalau nak negara selamat kita kena kembali kepada sistem selamat di mana sistem yang iktiraf kepelbagaian bangsa, warna kulit dan kepelbagaian agama,"katanya.

Jelasnya lagi, Pakatan Harapan (Harapan) dan BN sendiri tidak bersedia untuk mengubah dasar negara dan satu-satunya muafakat politik untuk mengubah dasar negara adalah melalui Gagasan Sejahtera.

Beliau juga berkata, apa yang berlaku dalam Harapan dan pergolakan BN menyebabkan Pas dalam Gagasan Sejahtera tiada sebarang masalah untuk berbincang mengenai kerusi dan calon PRU14 bersama rakan politiknya.

"Jawatan kita tak bincang sebab apa? kambing belum bela lagi jadi tak usah bincang nak bahagi untung berapa.

"Apa yang penting kita fokus kebajikan rakyat, selesai masalah rakyat Insya-ALLAH rakyat akan beri harapan pada parti yang menjaga dan memelihara hak mereka dan itu adalah parti Pas bersama Gagasan Sejahtera," katanya lagi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut memaklumkan kekerapannya datang ke negeri ini adalah kerana beliau dapat melihat 'bulan purnama' akan muncul di Johor.

Katanya, meskipun Johor merupakan negeri yang sukar untuk dimenangi namun beliau percaya berkat perit jerih perjuangan parti Pas selama ini kemenangan itu pasti akan hadir.

Terdahulu, majlis sama beliau turut merasmikan gimik pelancaran Gerak Gempur PRU14 Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (Kerabat) Negeri Johor.

- Sinar Harian

No comments

Loading...