Header Ads

Loading...

TPM Ziarah Jenazah Mendiang Tan Sri Celestine Ujang


KUCHING – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini menziarahi jenazah Tan Sri Celestine Ujang Jilan, yang meninggal dunia pada malam Rabu lalu di sebuah hospital swasta di sini akibat sakit tua.

Dalam ucapan ringkasnya, Ahmad Zahid meminta anggota keluarga bekas anggota Kabinet negeri Sarawak dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak itu menerima pemergian mendiang dengan hati yang tabah.

Katanya, beliau mengenali mendiang sejak tahun 1989 ketika mereka bersama-sama dalam Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dan menganggapkan keluarga mendiang seperti keluarga beliau sendiri.


Loading...

Menyifatkan Ujang sebagai seorang sahabat yang baik dan seorang pemimpin yang berwibawa, Ahmad Zahid turut menziarahi mendiang sebanyak tiga kali sejak beliau jatuh sakit.

Mendiang menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Kamena dari 1974 hingga 2001 dan pernah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, Speaker DUN Sarawak serta Menteri Perumahan dan Pembangunan Tanah sebelum beliau bersara 2001.

Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Nirvana, Jalan Kuching-Bau Siniawan pada jam 1.30 tengah hari esok selepas disembahyangkan di Gereja St Joseph, Kuching.

Sementara itu, beberapa pemimpin tempatan menyifatkan pemergian Ujang sebagai kehilangan besar, bukan sahaja kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan sayap Pesaka, tetapi juga kepada penduduk dalam DUN Kemena.

Datuk Dr Stephen Rundi Utom, yang menggantikan Ujang sebagai ADUN Kemena, berkata peduduk Kemena berasa sangat sedih apabila mendapat perkhabaran tentang pemergian Ujang pada petang Rabu lepas.

Rundi, yang juga Menteri Utiliti Sarawak, berkata mendiang Ujang membawa banyak perubahan dalam kawasan pilihan raya itu dan mempertingkatkan taraf hidup penduduk menerusi pelaksanaan pelbagai program sosio ekonomi khususnya dalam projek pembangunan tanah.

“Kami di Kemena berasa amat keberatan apabila beliau menyatakan kepada kami hasratnya untuk bersara pada 2001 oleh kerana pada masa itu, usia beliau dianggap masih muda (54 tahun) untuk beliau bersara selepas berkhidmat di negeri ini dengan menjawat pelbagai jawatan, termasuk antara yang paling lama, Ketua Pemuda PBB (dari 1974 hingga 1998),” kata Dr Rundi.

Dr Rundi berkata selepas persaraannya daripada politik pada 2001, Ujang tetap setia kepada parti dan terus memberi bimbingannya, yang paling dihargai oleh pemimpin dan anggota parti.

Seorang sahabat karib mendiang, Datuk Peter Minos pula menyifatkan mendiang Ujang sebagai seorang wakil rakyat yang sentiasa turun padang untuk mendekati masyarakat.

“Mendiang Tan Sri Celestine Ujang sahabat karib saya dan kami kembara bersama selama bertahun-tahun di Bintulu. Kami mengunjungi banyak tempat dan menginap di rumah panjang beliau di Sebauh, Bintulu,.

“Lokasi kegemaran kami ialah kawasan Ulu Tubau dan Kebulu, menangkap ikan semah dan bertemu suku kaum Kayan serta Punan di sana.

“Mendiang Ujang seorang yang baik. Beliau melaksanakan tugasnya sebagai seorang menteri dan Speaker DUN dengan cemerlang, tidak pernah bercakap benda buruk tentang orang lain sungguhpun mereka bercakap atau melakukan perkara buruk terhadapnya,” kata Minos.

Menurut Minos, mendiang Ujang seorang yang pemurah dan baik hati, bertimbang rasa terhadap orang lain serta sangat disenangi. – BERNAMA

No comments

Loading...