Header Ads

Terowong Dasar Laut: SPRM Serbu Pejabat Kerajaan, Syarikat


GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat serbuan ke atas beberapa pejabat kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan syarikat berhubung siasatan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Difahamkan pejabat kerajaan yang dikunjungi SPRM ialah pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Komtar.

Selain itu, Syarikat Ewein-Zenith, 555 Capital Diamond Valley Industrial Park dan Konsortium Zenith turut diserbu dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu.


Loading...

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu dan berkata ia  susulan daripada aduan yang dibuat Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan pada 5 Januari lepas.

"Kami mengambil dokumen di pejabat kerajaan dan beberapa syarikat yang berkaitan dengan projek terowong dasar laut itu. Buat masa ini tangkapan tidak ada lagi," katanya.

Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih di peringkat awal.

Pada 5 Januari lalu, Huan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion itu kepada SPRM di Putrajaya bagi menyiasat sama ada wujud unsur salah laku atau rasuah dalam pembidaan projek dasar laut itu.

Ia merupakan laporan kedua beliau kepada SPRM berkaitan kes berkenaan. Huan membuat laporan pertama di SPRM untuk kes yang sama pada 21 Julai lepas.

Pada 17 Julai lepas, Huan membuat laporan polis di Pulau Pinang dan meminta supaya disiasat dakwaan berhubung kerajaan Pulau Pinang telah menganugerahkan projek kepada sebuah syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan ketika membida projek terowong dasar laut itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. – Bernama

No comments

Loading...