Header Ads

Skuad B23 Lakar Sejarah Benam Saudi 1-0


SKUAD negara buat kejutan terbesar di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun apabila menewaskan naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 di Stadium Kunshan, malam Selasa.

Kemenangan tidak dijangka itu membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah untuk mara ke suku akhir pada penyertaan sulung dalam kejohanan selepas muncul naib juara Kumpulan C.

Kesebelasan utama skuad Harimau Muda ini dilaporkan mengiringi pasukan kebangsaan Iraq yang turut berjaya apabila menewaskan Jordan 1-0 dalam satu lagi aksi di Stadium Changshu.

Ia ibarat perlawanan hidup mati buat kedua-dua pasukan berkenaan selepas skuad negara hanya mengutip satu mata hasil seri 1-1 dengan Jordan dan tewas 1-4 di tangan Iraq sebelum ini.


Loading...

Manakala skuad Arab Saudi turut terdesak untuk memburu satu lagi kemenangan selepas mereka cuma terikat 2-2 semasa menentang Jordan dan seri tanpa jaringan pula ketika bertemu Iraq.

Menurut laporan portal mynewshub, tidak banyak perubahan yang dilakukan Kim Swee apabila hanya memasukkan R Kogileswaran ganti Jafri Firdaus Chew di jentera serangan manakala Safawi Rasid dan Akhyar Abdul Rashid yang cedera tetap beraksi.

Sebaik wisel perlawanan bermula, Arab Saudi yang dikendalikan oleh jurulatih kelahiran Argentina, Daniel Eduardo Teglia tidak menunggu lama untuk mengancam kubu pertahanan Malaysia.

Sepakan percuma Fahad Al Rashidi yang terkena palang pada minit ketiga dan tandukan Abdulelah Alamri (m-16) yang ditepis keluar penjaga gol Haziq Nadzli, jelas memberi tekanan kepada pasukan negara.

Namun, di sebalik penguasaan Arab Saudi, mereka dikejutkan jaringan tunggal Malaysia menerusi rembatan deras pemain tengah Daniel Amier Norhisham dalam kotak penalti hasil gerakan Matthew Davies pada minit ke-28.

Pada separuh masa kedua, Arab Saudi bangkit asak dari setiap sudut dan terpaksa guna hantaran jauh untuk cuba lepasi pertahanan negara yang ampuh bertahan sekali gus memastikan keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Malaysia bakal beraksi di suku akhir pada 20 Januari ini di venue sama bertemu juara Kumpulan D yang bakal ditentukan oleh Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Syria, esok.

No comments

Loading...