Header Ads

Loading...

Saya Tak Takut Dengan Siasatan Polis, Kata Tun Siti Hasmah


DR Siti Hasmah Mohd Ali berkata beliau tidak tertekan dan malah sama sekali tidak takut dengan siasatan yang dilakukan polis terhadapnya kerana yakin beliau tidak bersalah.

Isteri kepada Dr Mahathir Mohamad itu berkata, polis yang menyoal siasatnya semalam hanya bertanya tentang ucapan dan penglibatannya dalam satu perhimpunan aman tahun lalu.

“Saya tak rasa tertekan sebab saya tidak buat salah,” kata Dr Siti Hasmah kepada The Malaysian Insight di Kuala Lumpur hari ini.

“Dia tanya siapa penganjur? Sama ada saya penganjurnya atau tidak.”


Loading...

Semalam, polis menyoal siasat Dr Siti Hasmah di Pejabat Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur berhubung ucapannya pada rapat umum menuntut politik bersih di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 10 September tahun lalu.

Pada perarakan yang diberi nama Wanita Bantah Politik Toksik itu, Dr Siti Hasmah, 91, memberikan ucapan ringkas dari atas sebuah trak pikap kepada ketika lebih 1,000 wanita yang berpakaian serba ungu yang berarak dari Maju Junction ke Kompleks Pertama.

“Dia datang nak tanya saja kenapa saya hadir ke perhimpunan itu. Itu saja,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu The Malaysian Insight, mereka terbuka kepada sebarang siasatan polis sekiranya undang-undang memerlukan untuk berbuat demikian.

“Kita ikut peraturan. Kalau peraturan kata polis kena soal, soallah. Kita bukan orang yang ketepikan undang-undang.

“Yang ketepikan undang-undang, kerajaan. Kami ikut undang-undang,” kata bekas perdana menteri itu.

Semalam, peguam yang menemani Dr Siti Hasmah semasa soal siasat itu Haniff Khatri Abdulla berkata, kedua-dua pegawai polis dari Bukit Aman "tersipu-sipu" dan "malu-malu".

"Mereka juga memohon maaf. Mereka jelas kelihatan malu dan jelas tidak selesa kerana terpaksa mengambil kenyataan daripada negarawan seperti itu," kata Haniff kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, pengguna media sosial di Facebook dan Twitter melahirkan kekesalan dengan tindakan polis menyoal Dr Siti Hasmah berhubung ucapannya semasa "Himpunan Ungu" pada 10 September tahun lepas.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan ahli G25, Noor Farida Ariffin, yang menyaksikan wanita bersatu menentang situasi semasa politik Malaysia, yang digambarkan sebagai "toksik".

Sumber: The Malaysian Insight

No comments

Loading...