Header Ads

Loading...

Saya Ada Simpan Hasrat Jadi Pemimpin, Kata Mukhriz


KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau ada menyimpan hasrat untuk menjadi pemimpin tetapi bukan melalui “pakatan sulit” seperti didakwa bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata setiap orang yang berada di arena politik pasti menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pemimpin termasuk menjadi seorang perdana menteri, namun hasrat tersebut hendaklah lahir dengan hati yang suci kerana tanggungjawab yang akan dipikul adalah amanah besar kepada negara.


Loading...

Mukhriz, 53, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Kedah itu berkata demikian menerusi pernyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah pada hari pertama perbicaraan kes saman difailkannya terhadap Abdul Aziz selaku defendan berhubung dakwaan isu pakatan sulit melibatkan dirinya dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Walau dalam apa jua keadaan sekalipun, sekiranya saya bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, niat dan cita-cita itu tidak boleh dijadikan asas atau justifikasi kepada defendan untuk mencemuh dan menuduh terdapat "perjanjian rahsia” atau "pakatan sulit” atau "pergerakan rahsia” di antara (bapa saya Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan Kit Siang untuk mengangkat saya sebagai perdana menteri dan Kit Siang sebagai timbalan perdana menteri,” katanya.

Mukhriz memfailkan saman itu pada 7 Feb 2017 dengan mendakwa pada 30 Dis 2016, defendan telah mengeluarkan satu kenyataan bertajuk ‘Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang’ yang dilaporkan di dalam blog AIDCNews. - Bernama

No comments

Loading...