Header Ads

Loading...

‘Sarjan Faiz’ Larikan Remaja 16 Tahun Akhirnya Diberkas


KUANTAN – Lelaki yang menyamar sebagai anggota polis semasa melarikan remaja berusia 16 tahun di Sungai Ruan, Raub pada 27 Disember lepas, berjaya ditahan di hadapan sebuah hotel di Ipoh, Perak awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC Othman Nanyan berkata suspek berusia 32 tahun yang beralamat di Taman Bukit Indah, Bentong itu ditahan pada pukul 2.05 pagi, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.

“Pihak polis turut merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru palsu, dua buah telefon bimbit, sebuah kereta jenis Proton Satria dan wang tunai berjumlah RM100 daripada suspek tersebut.


Loading...

Siasatan awal mendapati suspek ada tujuh kes di Pahang, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur membabitkan kesalahan tipu, cabul, curi, menyamar penjawat awam dan rogol,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Namun Othman menambah ujian air kencing ke atas suspek adalah negatif dan kini direman hingga Selasa depan. Kes itu tular di media sosial apabila netizen digemparkan dengan suspek yang menyamar sebagai Sarjan Faiz.

Pada 27 Disember lepas, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa anaknya, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi dilarikan anggota polis bernama ‘Sarjan Faiz’ yang dikatakan bertugas di Balai Polis Sungai Ruan.

Lelaki tersebut meminta izin untuk membantu anaknya membawa pulang sebuah motosikal yang baharu dibeli. Wan Maziah Wan Mat, 37, kemudian melihat mangsa menaiki kereta dipandu oleh suspek berkenaan.

Bagaimanapun pada pukul 3 petang hari sama, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya memberitahu berada di Gua Musang, Kelantan dan memintanya untuk tidak bimbang kerana akan pulang tidak lama lagi.

Mangsa pulang ke Raub pada 29 Disember lalu, dengan menaiki bas setelah suspek bertindak menghantarnya ke stesen bas Pekeliling, Kuala Lumpur sebelum itu, kata Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Beliau turut mengesahkan bahawa tiada anggota polis bernama Faiz di balai itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan individu dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam. – BERNAMA

No comments

Loading...