Header Ads

Rahsia Warga Tertua Saudi Meninggal Usia 147 Tahun


RIYADH – Lelaki tertua Arab Saudi, Sheikh Ali Al-Alakmi meninggal pada usia 147 tahun, hujung minggu lalu, akibat serangan angin ahmar yang menyebabkan darah pada otaknya tersumbat.

Daya ketahanannya sungguh menakjubkan. Sheikh al-Alakmi pernah hidup dalam zaman pemerintahan sebelum Arab Saudi wujud iaitu Ali bin Mohammed bin Aa’id, Abdullah bin Mohammed bin Aa’ad dan Hasan bin Aa’ad.

Media tempatan melaporkan bahawa beliau juga berusia 38 tahun semasa Raja Abdulaziz bin Saud mengisytiharkan wilayah Asir sebagai sebahagian daripada wilayah Arab Saudi pada awal abad ke-20 lalu.


Loading...

Apakah rahsianya sehingga Allahyarham Sheikh al-Alakmi dapat menikmati usia yang amat panjang itu? Menurut salah seorang anggota keluarganya, Yahya al-Alekami, Allahyarham selalu makan daripada hasil ladangnya sendiri.


Selain bijian organik, gandum, jagung, barli dan madu yang boleh didapati di ladangnya, beliau juga hanya makan daging ternakannya dan menolak makanan yang ditawarkan dalam majlis-majlis keramaian yang dihadirinya.

Laman berita Al-Arabiya mendedahkan, allahyarham juga enggan menyentuh makanan-makanan yang diproses. Dalam pada itu, beliau semasa hayatnya langsung tidak pernah mengabaikan Al-Quran, menurut laporan itu lagi.

Allahyarham juga dilaporkan tidak suka menaiki kereta. Lantaran sikap kerasnya itu, beliau pernah berjalan kaki lebih 600 kilometer dari rumahnya semata-mata untuk pergi menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah.

Bagaimanapun Allahyarham Sheikh al-Alakmi yang hanya meninggalkan zuriat seorang anak lelaki dan seorang lagi anak perempuan; sempat berkata begini sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir akibat angin ahmar:

“Kehidupan lebih indah pada masa lalu. Hari ini, kehidupan dan manusia sudah banyak berubah. Tiada orang daripada generasi saya yang masih hidup, lantas saya rasa kesunyian.”


- Mynewshub

No comments

Loading...