Header Ads

PPBM Tidak Perjuang Survival Bangsa

Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin - Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kenyataan keras Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman untuk mendesak kepimpinan parti itu menerima orang bukan Melayu menjadi ahli jelas menunjukkan parti itu kini tiada arah tuju.

Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin berkata, parti itu juga ditubuhkan dengan tergesa-gesa untuk dua perkara iaitu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dan menyambung nyawa politik Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, ahli PPBM di seluruh Malaysia dipergunakan untuk berkorban wang ringgit, masa, tenaga, keluarga dan insan tersayang dalam usaha menjatuhkan Najib dan menyambung nyawa politik Mukhriz semata-mata.

"Tiada perjuangan bangsa yang dibawa oleh PPBM. Hanya ucapan retorik bahawa PPBM mempertahankan agama, bahasa Melayu dan hak istimewa Melayu yang hanya dilaungkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya dalam kenyataan di keluarkan di sini, hari ini.


Loading...

Anina mengulas mengenai kenyataan Syed Saddiq yang mahu parti itu membuka keahlian kepada bukan Melayu jika pakatan pembangkang menjadi kerajaan selepas dua penggal.

Menerusi sebuah portal berita semalam, Syed Saddiq dilaporkan akan menggesa PPBM berhenti menyekat keahlian penuh hanya kepada Bumiputera jika gabungan pakatan pembangkang menjadi kerajaan persekutuan.

Anina yang juga bekas Ketua Srikandi PPBM berkata, hanya Muhyiddin yang dilihat begitu berusaha keras untuk berbaik dengan PAS demi mendapatkan kekuatan suara Melayu dalam pakatan pembangkang sedangkan Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir dan Mukhriz begitu kuat berpegang kepada sokongan DAP.

"Jangkaan ramai pemerhati tepat apabila Dr Mahathir berjaya mempengaruhi pakatan pembangkang untuk meletakkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

"Muhyiddin nampaknya hanya akan menjadi salah seorang Menteri Kanan sekiranya pakatan pembangkang berjaya ke Putrajaya.

"Rakyat perlu membuka mata seluas-luasnya untuk menilai di manakah letaknya kepentingan isu bangsa dalam PPBM? Tiada, melainkan hanya perjuangan gila kuasa dan survival politik anak beranak," katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Anina berkata, ketika penubuhan PPBM, beliau ada mempersoalkan mengenai keperluan diwujudkan sebuah parti baru dan membenarkan bukan Melayu menyertai parti ini sebagai ahli bersekutu.

Katanya, mereka menyatakan langkah itu kerana PPBM memerlukan sokongan semua rakyat Malaysia.

"Dan apabila saya bertanyakan mengenai keperluan untuk bergabung dengan DAP, PKR dan AMANAH, saya digula-gulakan bahawa jumlah keahlian yang ramai dan bilangan kerusi yang banyak akan menjadikan PPBM parti yang dominan dalam PH. Maknanya DAP akan tunduk kepada PPBM," katanya.

Beliau berkata, rakyat boleh melihat sendiri perjuangan marhain PPBM telah dirampas oleh politikus yang gila kuasa.

"Pucuk pimpinan PPBM dilihat tidak jujur dalam memperjuangkan rakyat marhain apabila sanggup melakukan apa saja untuk berkuasa," katanya.

Sumber: Berita Harian

No comments

Loading...