Header Ads

PPBM Tak Boleh Tawan Negeri Sembilan Dengan Fitnah, Kata Bekas Pengasas


PETALING JAYA: Salah seorang bekas pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, Pakatan Harapan (PH) khusunya PPBM sukar merampas Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) kerana rakyat muak dengan fitnah gabungan pembangkang itu.

Beliau berkata, penduduk Negeri Sembilan mengharapkan perubahan daripada pembangkang, tetapi ia tidak berlaku.

“Mungkin apa yang berlaku seketika dulu (awal penubuhan PPBM) mereka melihat kerusi yang dimenangi BN ketika itu tidaklah begitu banyak perbezaan, jadi peluang itu ada, tapi apa yang berlaku untuk memenangi sesebuah negeri, kita mesti mempunyai satu mekanisme yang kuat dan boleh diterima rakyat.

“Kita tidak boleh menang pilihan raya hanya berlandaskan fitnah, sekali kita jalankan strategi politik fitnah, lama-kelamaan pengundi akan bosan dakyah yang kita lakukan dan akhirnya temberang ini akan pecah dan orang tahu perjuangan mereka tidak sama dengan apa yang mereka cakap.


Loading...

“Pengaruh PPBM di Negeri Sembilan semakin berkurangan, pada mulanya penubuhan PPBM ini nampak satu gerakan yang mampu membawa perubahan, tapi lama-kelamaan pengaruh PPBM ini berkurangan kerana apa yang disajikan pembangkang tidak seperti dikehendaki rakyat,” katanya kepada FMT.

Untuk rekod, BN memenangi 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), manakala DAP mempunyai 11 kerusi, diikuti PKR 3 kerusi.

Kamarulazman yang juga bekas pemimpin terlibat secara langsung dalam penubuhan PPBM di Negeri Sembilan berkata, PH terlalu memfokuskan calon perdana menteri berbanding membuat tawaran kepada rakyat jika gabungan pembangkang itu menang.

Katanya, hasil pemerhatiannya, tiada pemimpin PH yang layak menjadi calon perdana menteri, termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Setakat ini, saya tidak melihat orang yag boleh diketengahkan. Ramai kata Azmin Ali layak, tapi Azmin tidak mendapat sokongan padu daripada pimpinan PH, malah Azmin belum diuji dan dia belum pernah menjadi menteri dan tidak nampak kebolehannya, walaupun ramai kata dia layak sebab ada pengalaman sebagai menteri besar.

“Kalau nak diukur, Azmin mentadbir Selangor dan layak jadi perdana menteri, maka bagi saya lebih ramai pemimpin daripada Umno yang boleh lakukan tanggungjawab lebih baik daripada Azmin.”

Beliau mendakwa, PH hanya menggunakan Dr Mahathir untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Pakatan Harapan bukan mengharap Tun jadi perdana menteri, tapi PH hanya menggunakan Tun untuk pecahkan undi Umno kerana ramai masih mempunyai sedikit perasaan terhadap Tun yang boleh dibawa menyokong PH.

“Tapi untuk menjadikan Tun sebagai perdana menteri sekali lagi mustahil. Mereka tidak mungkin mahu seseorang pemimpin yang anti mereka suatu ketika dahulu memimpin mereka.”

Kamarulazman menjangkakan PPBM tidak akan menang lebih daripada 15 kerusi Parlimen dan sukar untuk Dr Mahathir dipilih sebagai perdana menteri jika jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu kurang daripada 3 parti pembangkang lain.

“Sebagai contoh, DAP menang 35 kerusi, PPBM dapat hanya 15 kerusi. Jadi, adakah PPBM boleh menjadi perdana menteri dengan hanya 15 kerusi?

“Memang mereka kata mereka tanding 52 kerusi, tapi saya tidak rasa mereka boleh menang lebih daripada 15 kerusi. Nak dapat 15 kerusi Perlimen bukan mudah.”

Pada 7 Januari lalu, PH mengumumkan peruntukan 52 daripada semua 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia kepada PPBM, PKR mendapat 51 kerusi, DAP (35) dan Amanah (27).

Sumber: FMT

No comments

Loading...