Header Ads

Loading...

PPBM Hanya Serius Jawatan PM


KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) didakwa tidak serius bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun memperoleh kerusi paling banyak dalam agihan kerusi Parlimen di Semenanjung.

Parti serpihan UMNO itu didakwa hanya mementingkan beberapa kerusi yang bakal ditandingi kepemimpinan tertinggi parti itu antaranya pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman, berkata bagi kerusi pilihan, tiada kompromi untuk mereka kecuali wajib menang manakala kerusi lain bakal diketepikan.

Beliau yang juga antara tujuh pengasas parti itu berkata, bilangan kerusi Parlimen diperoleh PPBM sekadar justifikasi untuk menunjukkan parti itu antara kuasa terpenting dalam gabungan pakatan pembangkang, sekali gus layak menuntut jawatan Perdana Menteri.


Loading...

Katanya, perbincangan dengan kumpulan pembangkang yang lantang termasuk pemimpin dan bekas pemimpin PPBM mendapati PPBM tidak serius menghadapi PRU-14, sebaliknya lebih mementingkan kedudukan individu tertentu.

"Saya pernah membangkitkan isu kerusi di Negeri Sembilan perlu diberi tumpuan kepada Muhyiddin tetapi tidak mendapat sokongan kerana beliau lebih mementingkan kedudukan, begitu juga Dr Mahathir.

"PPBM juga cuba mengaburi mata pihak tertentu dengan mendakwa sudah bersedia tetapi kita tidak lihat adanya calon boleh menang daripada parti itu untuk bertanding sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam agihan kerusi Parlimen di Semenanjung, PPBM memperoleh 52 kerusi, manakala PKR (51), DAP (35) dan Parti Amanah Negara (27).

Agihan kerusi DUN dijangka dimuktamadkan akhir bulan ini selepas senarai diserahkan kepada Majlis Presiden gabungan pakatan pembangkang.

Kamarul Azman mendakwa, PPBM mengabaikan kerusi DUN kerana tumpuan mereka hanya kerusi Parlimen untuk membolehkan Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri jika gabungan pakatan pembangkang menang PRU-14.

Beliau berkata, parti itu masih berdepan krisis dalaman di peringkat akar umbi termasuk bahagian dan negeri apabila ada jawatan ketua bahagian belum dinamakan, selain tidak berusaha menyelesaikan pertikaian di beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang.

"Situasi politik semasa menunjukkan pemimpin PPBM seakan tidak serius menghadapi PRU-14, sebaliknya dilihat menjadi kuda tunggangan untuk rundingan selepas PRU-14.

"PPBM akan menjadi parti tercorot selepas PRU-14 dan ketika itu, akan berlaku sama ada pemimpin parti itu rela menjadi parti kecil gabungan pakatan pembangkang atau mereka akan tawar-menawar dengan Barisan Nasional (BN) untuk kembali dengan syarat diberi jawatan penting dalam kerajaan," katanya.

Beliau akan menggerakkan pasukan atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tiga kerusi yang bakal ditandingi Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz untuk memberi penjelasan dan kesedaran kepada pengundi mengenai kepincangan parti itu.

- BH Online 

No comments

Loading...