Header Ads

Loading...

Pengarah JPS Antara 3 Ditahan SPRM, Akaun RM2.9 Juta Disita


KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran antara 3 individu ditahan hari ini dan akaun bank berjumlah RM2.9 juta disita bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengarah berumur 60 tahun itu dan 2 pemilik 2 syarikat berumur 39 dan 50 tahun itu ditahan di sebuah pejabat SPRM.

Katanya, SPRM turut merampas wang tunai hampir RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat yang ditahan, lapor FMT.


Loading...

“Pengarah itu disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10% bagi setiap projek yang dianugerahkan JPS di sebuah negeri kepada kontraktor-kontraktor dilantik sejak 2014 hingga 2017.

“Dua individu yang merupakan pemilik syarikat dipercayai bersubahat dengan pengarah tersebut.

“Dia (pengarah) juga didapati menjalani kehidupan mewah hasil wang rasuah yang diterima daripada kontraktor-kontraktor sejak 2014.

“Difahamkan, siasatan juga mendapati pengarah itu memindahkan sejumlah wang rasuahnya ke beberapa akaunnya dan saudara-maranya,” kata sumber itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek bagi membantu siasatan.

“Siasatan dimulakan selepas SPRM menerima laporan berhubung dakwaan perbuatan pengarah tersebut.

“Siasatan masih di peringkat awal dan pasukan penyiasat kini dalam proses meneliti dokumen yang dirampas bagi membantu siasatan,” kata Azam.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan akan direman esok bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

No comments

Loading...