Header Ads

Pemukiman Bermula Pertemuan Antara Najib Dan Lee Di Istana


SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura hari ini dengan mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Istana di sini.

Pertemuan itu dijangka mengambil masa kira-kira 45 minit diikuti mesyuarat delegasi yang dijangka berlangsung sejam antara kedua-dua pemimpin, beberapa menteri Malaysia dan Singapura serta pegawai kanan dari kedua-dua negara.

Antara menteri Kabinet Malaysia dan pegawai tinggi kanan yang dijangka menghadiri mesyuarat itu termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.


Loading...

Turut sama ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Zulkifli Adnan.

Sementara itu, antara Menteri Singapura yang dijangka menghadiri mesyuarat itu termasuk Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan; Menteri Pendidikan (Sekolah) merangkap Menteri Kedua Pengangkutan Ng Chee Meng; Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon serta turut disertai pegawai tinggi republik itu.

Kemuncak pemukiman itu akan membawa kepada kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dua hala projek Sistem Transit Rapid (RTS) laluan Johor Bahru-Singapura di antara Abdul Rahman dan Khaw serta menandatangani memorandum persefahaman berkaitan kerjasama pendidikan di antara Singapura dan Malaysia yang akan ditandatangani oleh Mahdzir dan Ng.

Selepas itu, Lee dan isteri, Ho Ching akan menganjurkan jamuan tengah hari rasmi untuk meraikan delegasi Malaysia di Istana.

Najib kemudian akan menghadiri sesi jamuan petang bersama komuniti Malaysia di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

RTS, yang kali pertama diumumkan semasa pemukiman kedua-dua pemimpin pada 2010, dijangka dapat membantu kedua-dua negara bagi menangani masalah kesesakan di Tambak Johor dan Tuas.

Dijangka beroperasi pada 2024, ia akan menghubungkan perkhidmatan pengangkutan awam antara Singapura dan Johor Bahru melalui stesen RTS di Bukit Chagar dan stesen MRT Woodlands North.
- Bernama

No comments

Loading...