Header Ads

Pas Diramal Menang Hanya Lima Kerusi Parlimen Dalam PRU14


ALOR SETAR - Pas diramal hanya mampu memenangi lima kerusi Parlimen pada PRU14 berdasarkan kepada senario politik semasa.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, senario politik masa kini dilihat tidak memihak kepada Pas, susulan wujudnya parti serpihan Amanah dan Bersatu.

“Sejarah membuktikan Pas tidak pernah menang banyak, paling banyak pada 1999, iaitu 27 kerusi Parlimen ketika Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor jadi ketua pembangkang,” katanya.

Menurutnya, pencapaian Pas agak teruk ketika bersendirian, namun prestasi parti itu meningkat ketika bersama BN mahupun Pakatan Rakyat sebelum ini.

Apabila Pas berpisah dengan BN pada 1974, Pas hanya menang lima kerusi pada PRU 1978 dan 1982, manakala hanya satu kerusi pada 1986.


Loading...

Ketika bersama Barisan Alternatif (1999), Pas menguasai 27 kerusi dan beroleh 23 kerusi (2008) serta 21 kerusi (2013) ketika bersama Pakatan Rakyat.

“Sekarang Pas akan bertanding bersendirian dengan sasarkan menang 40 kawasan Parlimen, namun saya percaya Pas tidak mungkin dapat lebih daripada lima kerusi,” katanya.

Phahrolrazi yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Kedah berkata, sasaran Pas menguasai 40 kerusi Parlimen adalah cita-cita yang terlalu tinggi.

“Lima kerusi Parlimen itu pun kawasan yang benar-benar kukuh sokongan di kawasan Pantai Timur. Untuk Pantai Barat, undi Melayu di situ berpecah kepada BN dan Pakatan Harapan,” katanya.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah (2009-2013) itu berkata, pertandingan tiga penjuru akan menyukarkan lagi impian Pas menawan Putrajaya.

“Jika berlaku tiga penjuru, nak pertahan Kelantan dan tawan Terengganu pun sukar. Entah apa percaturan dilakukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kali ini,” katanya.

Menurutnya, hasrat Pas untuk berperanan sebagai ‘King Maker’ jika BN dan Pakatan Harapan tidak berjaya memperoleh majoriti mutlak pada PRU14, juga bakal berkubur.

“Abdul Hadi mungkin hanya mahu suntik semangat ahli dan penyokong parti untuk berdepan PRU14,” katanya.

Ahad lalu, Pas mengesahkan akan bertanding lebih 130 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU14. Abdul Hadi meletakkan sasaran itu kerana mahu menjadi kerajaan, bukan lagi sebuah parti pembangkang jika memenangi PRU14.

Pas turut menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dengan menawan negeri majoritinya orang Islam, iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Mengulas sama ada tindak tanduk Pas itu memperlihatkan wujudnya pakatan sulit Pas-Umno, katanya, ia sukar ditelah.

“Perkara itu hanya akan didedahkan pada saat akhir menjelang PRU14, sama ada berlaku perjanjian kerjasama rasmi yang diumum kepada rakyat atau kerjasama tidak rasmi wujud antara ketua parti,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...