Header Ads

Nyaris Diculik, Remaja Tendang Dan Gigit Tangan Penculik ‘Van Putih’


Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun berdepan detik hitam selepas mendakwa diculik ‘van putih’ ketika menunggu bas di Pandan Indah, Jumaat lalu.

Memetik Harian Metro, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mujurlah mangsa sempat menyelamatkan diri selepas bergelut dengan suspek dengan menggigit tangan penculik berkenaan.

Difahamkan, mangsa mendakwa tiga lelaki berada di dalam kenderaan tersebut.


Loading...

Berdasarkan laporan polis yang tular di laman sosial, ketika kejadian dua lelaki tidak dikenali telah menarik mangsa ke dalam van, yang dipandu oleh seorang lagi lelaki.


Selepas 10 minit perjalanan, mangsa ternampak papan tanda dan perhentian bas Pandan Jaya dan kesempatan itu digunakan olehnya untuk melarikan diri dengan menggigit tangan salah seorang suspek yang berada disebelahnya.

Terkejut dengan tindakan mangsa, pemandu van itu memberhentikan kenderaan dan seorang lagi suspek membuka pintu sisi van sebelum remaja lelaki itu menendang lelaki berkenaan.

“Semasa dia (suspek) membuka pintu tersebut, saya telah menendang lelaki itu dan terus melarikan diri ke ‘bus stop’ dan menaiki bas Rapid ke SMK Pandan Indah," kata mangsa dipetik dalam laporan tersebut.

Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian tangan telah memaklumkan mengenai insiden tersebut kepada seorang guru sebelum ibu bapa mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, namun masih belum dapat memastikan kesahihan kejadian, lapor Harian Metro.

‎"Pihak kami masih menyiasat dan sehingga kini tiada saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dapat membantu.

‎"Luka yang dialami tiada kaitan dengan kejadian culik. Bagaimanapun, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

- Malaysian Digest

No comments

Loading...