Header Ads

Negara Tidak Akan Maju Tanpa Kestabilan Politik - PM


NABAWAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Malaysia tidak akan maju tanpa kestabilan politik.

Justeru, kata Najib rakyat di negara ini tidak boleh leka atau ambil mudah terhadap kestabilan politik yang dikecapi selama ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga membolehkan negara mengecapi pelbagai pembangunan yang membanggakan.

"Saya baru melawat sebuah negara. Negara itu mencapai kemerdekaan lebih awal daripada Malaysia. Tetapi kekayaan mereka cuma satu pertiga kekayaan Malaysia. Kenapa negara itu tidak sekaya dan semaju Malaysia? Sebab negara itu tidak ada kestabilan politik. Negara itu berdepan dengan perang saudara begitu lama.

"Kalau kita mempunyai satu keadaan yang rakyat dalam negara kita bersengketa antara satu sama lain, ataupun kita tidak ada kestabilan politik maka negara ini tidak akan maju," katanya ketika berucap di hadapan  lebih 10,000 penduduk Nabawan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Pekan Nabawan, Pensiangan di sini hari ini.


Loading...

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan Timbalannya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri  Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup serta  beberapa anggota Kabinet negeri dan persekutuan.

Menurut Perdana Menteri dalam suasana negara aman serta politik stabil yang dikecapi kini, rakyat tidak  seharusnya bersikap ambil mudah anugerah itu, sehingga sewenang-wenang ingin menukar kerajaan.

"Kita tidak boleh 'take for granted' (ambil mudah) hal keamanan ini. Dulu bila kita berdepan dengan ancaman komunis, bila kita nakkan kemerdekaan kita tahu nilai kemerdekaan dan keamanan. Tetapi bila negara sudah aman, harmoni selama ini, kadang-kadang kita lupa, kita ambil mudah. Ada kala kita merasakan bahawa tak susah, kita boleh tukar kerajaan, tak ada masalah.

"Tetapi tuan-tuan, sekali kita buat silap (dengan sewenang-sewenang menukar kerajaan), negara dan negeri boleh hancur. Betul tuan-tuan?," soal Najib yang disambut dengan suara gemuruh hadirin "betul".

Menurut perdana menteri sebagai sebuah kerajaan yang diterajui parti BN, kerajaan ini telah banyak membuktikan kemampuannya menyebabkan Malaysia kian maju dari sehari ke sehari.

Katanya kerajaan BN bukan cakap saja atau cuma pandai menjual janji seperti parti-parti pembangkang sebaliknya BN berterusan bekerja keras untuk memenuhi aspirasi rakyat tidak terkecuali membawa pembangunan kepada masyarakat luar bandar.

Najib mengingatkan rakyat bahawa parti pembangkang cuma pandai 'membuyuk' (kelentong) rakyat sahaja  dengan menjanjikan apa-apa yang mereka tidak dapat tunaikan semata-semata kerana ingin berkuasa.

"Mereka (pembangkang) ini dalam keadaan tertekan. Ada orang sudah bersara, dah berumur 93 tahun pun mahu diangkat sebagai perdana menteri. Di dunia ini mana ada macam ini. Negara lain kalau umur 93 tahun ini tak pakai lagi. Takkan Malaysia nak pakai. Kita mesti melihat ke hadapan. Bukan untuk hari ini sahaja tetapi 30 tahun akan datang iaitu Transformasi Negara 2050 (TN50)," katanya.

Menurut Najib perancangan masa depan pembangunan negara Malaysia yang dirancang hari ini menerusi TN50 adalah untuk masa depan generasi muda yang ada pada hari ini dan akan datang.

Sebagai contoh katanya pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM20 bilion di Sabah menerusi beberapa fasa, pembinaan Sabah International Convention Centre (SICC) yang bakal siap pada Oktober tahun ini serta pemberian dana mudah cara sebanyak RM500 juta kepada Sabah untuk projek eco-tourism di Tanjung Aru adalah untuk generasi akan datang.

Selain itu, katanya dalam Bajet 2018 juga kerajaan telah meluluskan RM1 bilion untuk Sabah membaik pulih sekolah-sekolah daif di negeri ini bagi menyediakan kemudahan pembelajaran selesa kepada pelajar.

Katanya semua ini dilaksanakan melalui pembangunan inklusif agar penduduk di luar bandar boleh maju seperti rakan-rakan mereka di bandar. - Bernama

No comments

Loading...