Header Ads

Najib Tegur Pembangkang, Puji Hadi


SHAH ALAM - Pembangkang disaran memainkan peranan di dalam pembangunan negara dengan penuh tanggungjawab, berprinsip dan beretika.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cubaan mensabotaj ekonomi negara dengan membuat tuduhan liar dan palsu boleh menjejaskan kebajikan serta merupakan tindakan tidak bertanggungjawab.

“Berbohong mengenai negara mereka sendiri untuk kepentingan politik peribadi adalah perbuatan terkutuk dan tidak bermoral malah mereka ini turut mengkhianati negara,” katanya menerusi perutusan tahun baru, hari ini.


Loading...

Di samping itu, Najib berkata usaha seorang bekas pemimpin yang cuba menggulingkan kerajaan dipilih secara demokratik untuk merealisasikan cita-cita anaknya tidak dapat diterima sama sekali.

Beliau berkata, dalam demokrasi, perkara paling penting adalah keinginan serta kehendak kebanyakan rakyat seperti tercatat di dalam peti undi dan bukannya kehendak peribadi.

“Malah, adalah tidak bertanggungjawab bagi ahli politik untuk menentang sesuatu semata-mata demi membangkang kerajaan meskipun secara peribadi mereka bersetuju bahawa pelaksanaan dilakukan itu adalah tepat,” katanya.

Selain itu, Najib turut menggunakan contoh lawatannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mengunjungi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dirawat selepas menjalani pembedahan pada 17 November lalu adalah untuk menekankan aspek kesopanan dalam berpolitik.

“Ia tidak sepatutnya dianggap luar biasa, sebagai contoh untuk melawat lawan yang lama di hospital untuk menyatakan simpati dan harapan yang baik untuk pemulihan mereka yang cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut memuji Pas di bawah kepimpinan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan menggunakan cara lebih baik.

Ujar beliau, meskipun berada di pihak berlainan, namun kedua-dua pihak dilihat mengetepikan segala perbezaan khususnya berkaitan agama seperti isu Rohingya dan Palestin.

“Inilah politik lebih matang yang membina negara kita, bukan cuba merobohkannya. Ia membantu menyatukan kita, bukan memecahkan kita. Dan ia menumpukan kepada apa yang kita ada bersama, dan bukannya menjadikan kepelbagaian kita sebagai suatu kelemahan.

“Bagi kerajaan, kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan kita tidak akan berhenti mempertahankannya,” katanya.

- Sinar Harian

No comments


Loading...