Najib Perlu Beri Taklimat Dasar Luar Negara Kepada Tun M
SHAH ALAM - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (Harapan)
menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi taklimat kepada
calon perdana menterinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan keputusan-keputusan
dasar luar negara.
Menurut kenyataan bersama Liew Chin Tong (DAP), Dr Dzulkefly
Ahmad, (Amanah), Datuk Dr Rais Hussin, (Bersatu) dan Syed Ibrahim Syed Noh
(PKR), tindakan itu adalah untuk menjamin konsensus dwi parti dan peralihan
kuasa yang sempurna sekiranya berlaku perubahan kerajaan selepas PRU14.
“Kerajaan sedia ada perlu melibatkan Harapan dalam dasar
luar negara untuk memastikan konsensus dwi parti dan peralihan kuasa yang
sempurna.
Loading...
“Bagi menjamin dasar-dasar luar negara yang telah ditetapkan
kerajaan sekarang, beliau (Najib) bertanggungjawab untuk memberi taklimat
kepada calon perdana menteri Harapan serta ahli-ahli Parlimen lain supaya tiada
sebarang kesan negatif berlaku kepada rakan-rakan negara asing,” katanya
menerusi kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Pada masa sama, kenyataan itu juga menyebut bahawa dalam
mana-mana demokrasi matang, semua ahli Parlimen akan duduk bersama di dalam
jawatankuasa dasar luar negara Parlimen untuk meneliti dasar-dasar luar negara
kerajaan sedia ada dan membina konsensus yang luas.
“Untuk memastikan negara-negara asing tidak terkesan akibat
perubahan kerajaan, dalam mana-mana demokrasi matang ketua pembangkang biasanya
akan diberi taklimat oleh kerajaan berhubung dasar luar negara dan isu-isu
keselamatan.
“Amalan-amalan sebegini patut dicontohi dan dijadikan
sebahagian dari amalan institusi kerajaan kerana perubahan kerajaan pada PRU
akan datang tidak mustahil,” katanya.
- Sinar Harian
Post a Comment