Header Ads

Najib Iktiraf Peranan Penting Penjawat Awam


KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan menguncupkan saiz penjawat awam merupakan satu jaminan untuk warga sektor awam mengenai masa depan kerjaya mereka.

Berita gembira itu, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam Datuk Azih Muda turut membuktikan kepekaan mendalam pemimpin nombor satu negara tersebut terhadap peranan dan tanggungjawab yang dipikul penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar dan penyampai perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Beliau bukan sahaja berkata saiz penjawat awam tidak akan dikurangkan, malah menjamin bahawa perkhidmatan pekerja kontrak sedia ada akan diteruskan. Ini merupakan satu berita yang cukup signifikan untuk penjawat awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Loading...

Katanya kerjaya dalam sektor awam harus dilihat sebagai satu khidmat nasional dalam membantu memastikan Malaysia mencapai wawasan menjadi sebuah daripada 20 negara teratas dunia menjelang 2050.

Perdana menteri dalam satu majlis perjumpaan bersama penjawat awam kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di Kota Bharu semalam turut menyifatkan perkhidmatan awam sebagai benteng dan tulang belakang kerajaan.

Azih berkata ini ialah satu penghargaan dan pengiktirafan kepada sektor itu yang boleh menjadi pembakar semangat untuk penjawat awam terus memberikan yang terbaik dalam tugas ketika mereka dicemuh dan dipandang negatif oleh sesetengah masyarakat.

Katanya pada masa ini terdapat 1.62 juta penjawat awam di negara ini dengan hampir 55,000 adalah pekerja kontrak manakala kira-kira 35,000 hingga 39,000 orang pula dianggarkan bersara wajib setiap tahun.

Beliau berkata tindakan pembangkang yang mendakwa saiz penjawat awam terlalu besar sehingga membayangkan akan mengurangkan separuh daripada jumlah sedia ada jika berjaya membentuk kerajaan persekutuan adalah tidak berpijak di bumi nyata.

“Jumlah 1.62 juta orang adalah jumlah keseluruhan termasuk kategori keselamatan (tentera dan polis), pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Jumlah penjawat awam dalam tiga kategori ini sudahpun mencecah hampir 1.1 juta orang,” katanya.

Beliau berkata pembangkang juga sengaja mengelirukan orang ramai bahawa saiz penjawat awam yang terlalu besar membebankan kedudukan kewangan kerajaan, berbanding di negara lain seperti Singapura, United Kingdom dan negara-negara Kesatuan Eropah.

“Namun, yang mereka sengaja tidak beritahu ialah bahawa jumlah yang dilaporkan di negara lain adalah tidak termasuk mereka yang berkhidmat dalam kategori pertahanan, pendidikan dan kesihatan, kerana penakrifan penjawat awam di setiap negara adalah berbeza,” katanya. – BERNAMA

No comments

Loading...