Header Ads

Najib Adakan Lawatan Kerja Ke Sabah Esok


KOTA KINABALU -- Lawatan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak selama dua hari ke Sabah, esok, adalah manifestasi keprihatinan Perdana Menteri terhadap kesejahteraan, kebajikan dan nasib rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata walaupun sibuk dengan tugas dan tanggungjawab rasminya, perdana menteri tetap meluangkan masa turun padang untuk merasai denyut nadi rakyat di negeri ini.

“Sabah tidak pernah diketepikan oleh Kerajaan Pusat, malah sentiasa diberikan perhatian yang sewajarnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri. Banyak program dan projek pembangunan dilaksanakan (di Sabah) untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat,” katanya mengulas lawatan kerja perdana menteri itu di sini hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Barisan Nasional (BN). akan mengadakan lawatan kerja ke beberapa kawasan di negeri ini iaitu Penampang, Nabawan dan Kota Marudu, esok dan lusa.


Loading...

Menurut Musa, lawatan Najib berkenaan sudah tentu akan mencetuskan impak dan manfaat yang besar kepada rakyat di negeri ini.

Sebagai contoh, katanya, lawatan Najib ke Kota Marudu untuk merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau adalah bukti perdana menteri begitu mengambil berat keperluan pendidikan dan keselesaan anak-anak Sabah dalam aspek pendidikan.

Katanya, ia juga membuktikan bahawa Najib serius dalam membangunkan modal insan berkualiti di negeri ini.

Untuk rekod, SMK Bandau ditubuhkan pada tahun 2000 namun sekolah itu menumpang bangunan di Sekolah Kebangsaan Ongkilan. Pada Mac 2014, SMK Bandau mula menggunakan bangunan sekolah baharu mereka sendiri.

"Pembinaan Klinik Kesihatan Baharu di Nabawan pula bukti perdana menteri menyelami hati nurani rakyat pedalaman yang memerlukan kemudahan kesihatan yang baik," kata Musa.

Justeru, beliau meminta rakyat Sabah agar terus menyokong kerajaan yang diterajui BN demi kelangsungan pembangunan Sabah yang sedang berjalan dengan pesat.

Katanya, hanya kerajaan BN mampu memenuhi aspirasi rakyat dan menjamin kestabilan dan perpaduan rakyat di negeri ini.

- BERNAMA

No comments

Loading...