Header Ads

Loading...

Muhyiddin Dakwa Pas Berkhalwat Dengan Umno


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan itu akan menolak mana-mana parti yang bersama Umno dalam PRU14.

Beliau mendakwa, Pas yang suatu ketika dahulu dilihat cenderung kepada Harapan kini sedang 'berkhalwat' dengan Umno.

"Dalam PRU nanti, Harapan akan tentang sesiapa sahaja yang berkhalwat dengan Umno," katanya di Pentas Pimpinan dan Pelancaran dalam Konvensyen Pakatan Harapan, hari ini.


Loading...

Katanya, mereka yang berada dalam Harapan perlu yakin dengan perjuangan kerana perjuangan mereka adalah menentang kemungkaran yang dilakukan kerajaan sekarang.

"Jangan ragu atau curiga kerana kita berada dalam saf perjuangan benar," katanya.

Menurutnya, PRU adalah satu peperangan dan setiap arahan daripada setiap bahagian perlu diikuti dan tak boleh dimungkiri.

"Kita kena tahu, untuk menang, kita perlu berjuang bermati-matian. Mereka (Umno) berada dalam keadaan risau kerana setiap pagi, presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak bangun dia lihat graf sokongan semakin menurun tetapi PRU perlu diadakan.

"Begitu juga dengan pembahagian kerusi, ia sesuatu yang penting dan dilakukan menerusi rundingan. Jadi semua pihak perlu saling menghormati dan tolak ansur. Itu ramuan kemenangan dalam PRU," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, Harapan akan meletakkan calon terbaik di setiap kerusi yang ditandingi.

"Kita akan bertanding di setiap kerusi pada PRU14. Semua perlu sokong tak kira dari parti mana kerana matlamat kita hanya satu iaitu menggantikan kerajaan hari ini.

"Jangan ada pihak sabotaj pada PRU nanti kerana ia dianggap pengkhianat. Apa yang penting adalah mendapatkan undi dari rakyat dan memberikan yang terbaik," katanya.

No comments

Loading...
loading...