Header Ads

Muhyiddin Cuba Rungkai Kebuntuan, Tawar Formula 60-40


Kebuntuan dalam parti-parti pembangkang berhubung agihan kerusi di Sabah dikatakan hampir berjaya dirungkai susulan pertemuan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah dengan Timbalan Presiden HARAPAN Tan Sri Muhyiddin Yassin malam semalam.

Pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini, HARAPAN Sabah berkata mereka menawarkan formula 60-40 untuk pengagihan kerusi antara gabungan pembangkang itu dengan WARISAN.

Tawaran itu adalah bagi membolehkan WARISAN meletakkan calon-calonnya di 60 peratus daripada 60 kerusi negeri dan memberi laluan kepada HARAPAN untuk bertanding di 60 peratus daripada 25 kerusi parlimen.

Timbalan Pengerusi HARAPAN Sabah, Stephen Wong berkata gabungan itu amat berharap agar WARISAN bersedia untuk menerima formula itu.


Loading...

"Saya optimis bahawa dengan tawaran ini dan visi bersama, kita boleh menyelesaikannya," kata Wong yang dipetik oleh Malay Mail Online.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pemimpin HARAPAN Sabah diheret dalam perang mulut dengan pemimpin WARISAN berhubung cara terbaik untuk meneruskan pakatan pilihan raya.

Sabah adalah satu-satunya negeri di mana HARAPAN masih belum memuktamadkan rundingan kerusi parlimen mereka.

Muhyiddin, yang berkata HARAPAN Sabah mesti memuktamadkan calon mereka menjelang akhir Januari, berkata Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah seorang 'kawan baik'.

Muhyiddin dan Shafie adalah rakan lama yang bersahabat baik ketika mereka bersama dalam Umno.

Pada 2016, Muhyiddin dipecat daripada Umno manakala Shafie bertindak keluar parti sebulan kemudian. Ketika itu, Muhyiddin adalah timbalan presiden dan timbalan perdana menteri manakala Shafie adalah naib presiden Umno.

Muhyiddin berkata majlis presiden HARAPAN mahu senarai calon parti itu dimuktamadkan menjelang akhir bulan itu kerana pengumuman rasmi diperlukan.

"Berhubung dengan calon, nama semua calon bukan sahaja di Sabah tetapi juga seluruh negara akan diumumkan selepas semua rundingan kerusi selesai," katanya menurut laporan lain yang dipetik dari The Malaysian Insight.

Berikutan pengumuman hari ini, HARAPAN Sabah akan menjemput WARISAN bagi menghadiri beberapa siri rundingan.

Adalah difahamkan bahawa WARISAN telah berhubungan dengan beberapa individu parti komponen HARAPAN secara tidak rasmi.

- Malaysiakini

No comments

Loading...