Header Ads

Loading...

Mahathir Penghukum, Suka Menyalahkan Orang Lain


SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menuduh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghukum dan menyalahkan individu lain dalam isu pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1988.

“Terbaru Mahathir tuduh Tun Salleh Abas dipecat atas kehendak bekas Yang Dipertuan Agong ketika itu.

“Dia juga menyalahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman kerana menggunakan nama beliau," katanya dalam satu kenyataan susulan penafian Mahathir mengenai penglibatannya dalam isu tersebut.


Loading...

Tambahnya lagi, Abu Talib Othman menafikan menggunakan nama Mahathir, malah mendakwa surat Salleh kepada Agong bukan kerana isu bunyi bising ekoran kerja  ubah suai rumah Tuanku seperti yang didakwa Mahathir.

"Surat Salleh adalah berkenaan dengan rasa tidak puas hati para hakim kerana Mahathir telah menyerang institusi kehakiman secara terbuka termasuk di Parlimen.

"Oleh kerana Tun Salleh Abas masih hidup maka alangkah baiknya Tun Salleh memberikan penjelasan terperinci mengenainya. Kita juga ingin tahu apa pendirian Zaid Ibrahim sekarang.

“Masa dia jadi menteri yang jaga undang-undang  2008 dia mencadangkan supaya kerajaan memohon maaf kepada semua hakim yang dipecat ketika itu termasuk membayar pampasan. Bahkan bayaran pampasan telah dibuat," jelas Mohd Puad.

Katanya lagi, orang ramai boleh merujuk buku May Day For Justice yang ditulis oleh K Das dan Tun Salleh Abas.

"Dalam buku itu dijelaskan, Tun M mula mengkritik secara terbuka institusi kehakiman ekoran pemilihan Umno 1987 di mana Mahathir menang tipis ke atas Tengku Razaliegh. 11 orang ahli Umno (asalnya 12) mengheret kes itu ke Mahkamah.

“Akibatnya Umno diisytiharkan haram tetapi keputusan pemilihan dikekalkan. 11 orang itu membuat rayuan. Sepatutnya didengar pada 13 Jun 1988. Maka di situlah menurut buku itu masalah bermula antara Mahathir dengan Ketua Hakim Negara. Mahathir bimbang rayuan 11 orang itu akan di terima dan pemilihan Umno dibuat semula.

"Salleh yang tidak senang hati dengan kritikan terbuka itu telah mengadakan mesyuarat khas bersama 20 hakim yang lain pada 25 Mac 1988. Keputusannya ialah menghantar surat kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyatakan rasa tidak puas hati para hakim terhadap Mahathir.

"Ibarat disorong bantal, Mahathir didakwa mengambil kesempatan sebagai perdana menteri menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk memecat Salleh (rujuk buku berkenaan). Tidak berapa lama selepas dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Omar mengenepikan permohonan rayuan 11 orang bekas ahli Umno itu.

"Pokoknya apakah Mahathir berbohong dan kenapa menyalahkan orang lain? Kita mahu bertanya kepada Lim Kit Siang dan Bar Council. Lim Kit Siang pernah menganjurkan di Parlimen pada tahun 1989 supaya semua ahli parlimen membaca buku May Day For Justice. Lim Chee Wee pula (bekas Presiden Bar Council) mendesak isu ini disemak semula. Tetapi kenapa sekarang diam? Apakah mereka juga menyokong bakal Perdana Menteri Sementara Pakatan Harapan ini?" akhiri Mohd Puad.

- Sinar Harian

No comments

Loading...
loading...