Header Ads

Loading...

Lebih Sejam Disiasat, Siti Hasmah Ditanya 12 Soalan


KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman hari ini mengambil keterangan Tun Dr Siti Hasmah Ali lebih sejam mengenai ucapannya dalam perhimpunan “Wanita Bantah Politik Toksik” di ibu negara, September lalu.

Peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu menjawab semua 12 soalan dikemukakan polis sepanjang sesi soal siasat berkenaan.

Katanya, Siti Hasmah turut memaklumkan beliau sedia menjawab semua soalan lebih terperinci di mahkamah berhubung ucapannya dalam perhimpunan itu.

“Sesi berlangsung lebih 1 jam dan Tun Dr Siti Hasmah telah ditanya 12 soalan dan 2 muka surat dicatat di atas isu yang kononnya pihak polis datang untuk menyiasat.

Loading...

“Peristiwa (itu berlaku) 3 bulan setengah lalu, menurut polis yang datang, mereka beritahu telah membuka siasatan ini di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman,” kata Haniff kepada wartawan selepas menemani Siti Hasmah mengambil keterangan.

Beliau mempersoalkan keperluan polis mengambil keterangan Siti Hasmah yang disifatkannya membuang masa hanya berdasarkan 1 laporan polis, walaupun wanita itu tidak memberi sebarang ancaman dan berhak menyuarakan pandangannya.

“Tidak ada keperluan untuk mengambil kenyataan semua orang yang disiasat. Kalau perlu dan ada bukti, tuduh di mahkamah. Jangan buang masa seorang yang diterima rakyat Malaysia berumur 91 tahun.

Beliau tidak menolak kemungkinan siasatan ke atas Siti Hasmah berunsur politik dan mendakwa bertujuan memberi tekanan kepada rakyat supaya tidak melawan kerajaan.

“Ini semua sandiwara. Mereka nak cuba gertak rakyat biasa, kalau dia boleh datang untuk ambil kenyataan Tun Siti Hasmah, apatah kalau kita di jalanan,” katanya.

Terdahulu, 2 pegawai polis berpangkat ASP dan Inspektor dari Bukit Aman tiba di Yayasan Albukhary kira-kira 11.33 pagi dengan membawa beberapa dokumen untuk mengambil keterangan Siti Hasmah berhubung perhimpunan “Wanita Bantah Politik Toksik” dan meninggalkan yayasan itu sekitar 1 tengah hari tadi.



Lebih 1,000 orang termasuk ahli politik dan aktivis hak wanita menyertai perhimpunan pada 10 September 2017 itu.

Dr Mahathir dan isterinya turut berucap di depan peserta yang berkumpul di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum berarak ke Kompleks Pertama berdekatan.

Siti Hasmah menerusi ucapannya menggesa golongan wanita memainkan peranan untuk menghentikan “politik toksik” di negara ini.

“Wanita mencintai keamanan dan kestabilan supaya mereka dapat melalui kehidupan yang stabil. Bagaimanapun, kita dapat melihat terdapat keganasan terhadap wanita dan melanggar hak kita,” katanya pada September lalu.

Sumber: FMT

No comments

Loading...