Header Ads

Loading...

Ketua PDM PKR Keluar Parti


KIULU: Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tiong Pirungusan, di sini, Ah Kiaw Boliking, hari ini membuat keputusan kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) menerusi Parti Bersatu Sabah (PBS).

Katanya, keputusan itu dibuat selepas melihat kesungguhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau, menangani keperluan rakyat di kawasan ini.

Ah Kiaw, 58, yang mengetuai PKR di PDM Tiong Pirungusan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), menzahirkan secara rasmi sokongan penuh kepada Madius dan Joniston pada Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Tiong Keranaan, di sini, hari ini.


Loading...

"Saya harap Madius dan Joniston terus diberi amanah bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan saya akan sedaya upaya membantu untuk kemenangan mereka," katanya.

Ah Kiaw yang menjadi ahli PBS sejak penubuhannya pada 1985 sebelum menyertai PKR, gembira kembali ke pangkuan parti itu untuk membantu kemenangan BN di Tuaran pada PRU-14.

"Saya yakin BN akan memenangi PRU-14 dan kita mahu Parlimen Tuaran dan Dewan Undangan (DUN) Kiulu terus diwakili oleh wakil rakyat dari parti memerintah," katanya yang pernah menjadi ahli jawatankuasa PKR Cabang Tuaran.

Katanya, ramai penyokong pembangkang yang bersama-sama beliau pada PRU-13 akan turut mengalih sokongan kepada BN.

"Saya yakin semua calon BN di Tuaran akan menang besar pada PRU-14 kerana rakyat kini sedar parti pembangkang tidak boleh bekerjasama dan hanya bergantung kepada fitnah dan pembohongan untuk meraih sokongan," katanya.

Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Joniston yakin sokongan BN di PDM Tiong Pirungusan akan meningkat dengan kembalinya Ah Kiaw ke pangkuan BN.

- Berita Harian

No comments

Loading...