Header Ads

Loading...

Kepimpinan Negara Bukan Punca Wawasan 2020 Gagal


SHAH ALAM - Wawasan 2020 bukan sebuah kegagalan, tetapi banyak faktor luaran yang mempengaruhi apabila matlamat itu tidak tercapai sepenuhnya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, kegagalan negara mencapai Wawasan 2020 sepenuhnya bukan berpunca daripada kepimpinan negara.

“Selepas peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003, kepimpinan selepasnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak tetap meneruskan agenda Wawasan 2020 di dalam setiap pembentangan Bajet dan Rancangan Malaysia.

“Namun, kelembapan ekonomi dunia termasuk penurunan harga bahan mentah memberi kesan kepada peningkatan Pendapatan Negara Kasar (GNI) banyak dipengaruhi ekonomi dunia,” katanya.


Loading...

Katanya, sekiranya persekitaran dunia boleh berubah termasuk peningkatan harga minyak, sudah pasti akan merancakkan lagi sektor ekonomi.

Pada masa sama ia dapat membantu negara mengurangkan beban rakyat ekoran peningkatan kos sara hidup.

Bagaimanapun menurut beliau, masih terlalu awal untuk menyatakan Malaysia gagal mencapai Wawasan 2020.

“Jika dilihat daripada aspek lain, Malaysia berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar selain mewujudkan bangsa yang bersatu padu. Misalnya tema kemerdekaan 2017 iaitu Sehati Sejiwa juga berteraskan kepada Wawasan 2020.

“Ini menunjukkan Malaysia tidak gagal sepenuhnya untuk mencapai Wawasan 2020. Negara masih berada di landasan yang betul untuk memastikan sebahagian lagi matlamat tersebut tercapai,” katanya.

Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan, Mahathir mengakui negara tidak boleh mencapai matlamat untuk memenuhi Wawasan 2020.

Katanya, ini kerana kerajaan ketika ini tidak memahami tafsiran negara maju yang sebenar. Sebaliknya Kerajaan berpendapat, negara maju bermaksud Pendapatan Negara Kasar (GNI) perkapita mesti mencapai AS$16,000.

Wawasan 2020 diperkenalkan Mahathir ketika bergelar perdana menteri yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Ia bukan sahaja fokus pada bidang ekonomi, tetapi politik, sosial, kerohanian, psikologi, perpaduan nasional dan sosial.

- Sinar Harian

No comments

Loading...