Header Ads

Kempen Undi Rosak Bertentangan Demokrasi - Najib


NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kempen 'undi rosak' yang lancarkan pihak tertentu sebagai tindakan yang bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Katanya pendekatan berkempen secara negatif untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU) itu sepatutnya tidak dilakukan kerana rakyat Malaysia seharusnya diberikan hak menentukan kerajaan pilihan.

"Semua orang ada hak untuk menggunakan kuasa yang diberikan Perlembagaan kepada setiap rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar (sebagai pemilih).


Loading...

"Jadi inilah masa untuk kita menggunakan hak kita menentukan kerajaan, ini pilihan kita sebab itu adalah (menjadi) tanggungjawab kita sebagai seorang individu menentukan siapa yang patut menjadi kerajaan Malaysia," katanya kepada pemberita Malaysia, di sini hari ini.

Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas Kempen Undi Rosak yang sebelum ini tular di laman sosial, dengan menyebarkan mesej dengan tanda pagar #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU.

Najib dalam rangka lawatan kerja dua hari di ibu negara India ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India bersempena ulang tahun ke-25 hubungan dialog India dan 10 negara anggota perkumpulan serantau itu.

Perdana menteri mengakhiri lawatan kerja dua harinya itu hari ini dan dijadual pulang ke tanah air malam ini.
- Bernama

No comments

Loading...