Header Ads

Kementerian Sumber Manusia Diberi Masa Dua Minggu, Kalau Tak...


KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pengguna dan Hak Asasi Manusia memberi tempoh dua minggu bermula hari ini kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mengadakan mesyuarat tergempar berhubung isu larangan kepada pekerja wanita di bahagian khidmat pelanggan memakai tudung.

Presiden Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata, sekiranya pertemuan itu gagal dilaksanakan bermakna kementerian tidak memandang serius mengenai isu ini dan menyokong tindakan dan polisi yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berhubung isu tersebut.

“Ini isu nasional yang memerlukan perhatian serius dan campur tangan daripada kerajaan serta semua pihak. Jadi, jika kerajaan acuh tak acuh dalam menangani perkara ini bermakna menyokong tindakan hotel.


Loading...

“Atas sebab itu, NGO-NGO juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis seterusnya melakukan piket dari satu ke satu hotel di seluruh negara bagi menyatakan bantahan terhadap larangan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Penghuna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani; Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dan Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim, Nurul Suhadah Shuib.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihak pengurusan hotel yang berselindung di sebalik prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pekerja hotel itu disifatkan sebagai tindakan kurang ajar dan tidak beretika.

Tegasnya, atas sebab tersebut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua agensi agama Islam di negeri-negeri perlu menarik balik sijil halal yang diberikan selain menggesa masyarakat memboikot hotel-hotel terlibat.

“Mereka ini semakin kurang ajar kerana tidak memahami hak asasi manusia, mana tidaknya pekerja wanita yang bertugas di dalam pejabat dan dapur pun dilarang memakai tudung, sedangkan mereka bukan berdepan dengan pelanggan.

“Ambil sahaja tindakan tarik balik sijil halal di hotel-hotel ini. Kita nak tengok sejauh mana mereka boleh menjalankan perniagaan? Mereka nak sijil halal tapi menekan hak asasi pekerja. Sepatutnya kalau nak larang pekerja pakai tudung, mereka patut halang juga pelanggan pakai tudung makan di hotel itu,” katanya.
- UTUSAN ONLINE

No comments

Loading...