Header Ads

Kalaulah Mahathir Dapat Jumpa Anwar...


SHAH ALAM - Pakatan Harapan (Harapan) bakal memperoleh kelebihan sekiranya pertemuan antara bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bekas seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat direalisasikan.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, jika pertemuan itu dapat dirakam dalam bentuk visual mahu pun gambar, ia pasti dapat memberikan isyarat kepada masyarakat bahawa kedua-dua ikon politik itu bersetuju berdamai dan bekerjasama pada PRU14.

“Jika mereka dapat berjumpa tempoh hari, ia mampu kurangkan keresahan dalam kalangan penyokong Harapan, khususnya PKR yang ada sebilangan daripadanya tidak bersetuju pemilihan Mahathir sebagai calon perdana menteri.


Loading...

“Mungkin secara formal, Anwar telah menyatakan persetujuan pemilihan Mahathir melalui surat, namun mungkin ada dalam kalangan penyokong masih mentafsirkan ia bukan ditulis oleh pemimpin nombor satu PKR itu.

“Jadi, jika pertemuan itu menjadi dan terdapat juga gambar atau visual dirakam, ia sekali gus dapat memberi gambaran kedua-dua pihak ini memang telah berdamai dan akan bersama dalam PRU14,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rabu lalu, Mahathir yang juga Pengerusi Harapan melahirkan rasa kecewa selepas gagal menziarahi Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras selepas tidak mendapat kebenaran Jabatan Penjara.

Mengulas lanjut, Marthada berkata, tindakan Mahathir yang berhasrat melawat Anwar juga boleh dianggap sebagai strategi kerana kedua-dua ikon itu seteru utama dalam arena politik tanah air sejak 1998.

“Malah pertemuan ini juga adalah hasrat Mahathir yang ingin mengucapkan penghargaan kepada Anwar selepas memberi laluan kepadanya untuk jadi calon perdana menteri pada  PRU14.

“Dengan pertemuan ini juga, ia dapat meredakan kemelut sokongan dalam kalangan kepimpinan dan akar umbi PKR sendiri. Sebab itu, Mahathir begitu bersungguh untuk adakan pertemuan ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, sebagai calon perdana menteri Harapan, tindakan Mahathir tersebut sememangnya sudah dijangka kebanyakan pihak.

Menurutnya, usaha Mahathir itu akan mengundang penerimaan sesetengah penyokong Anwar yang sebelum ini masih tidak dapat menerima pencalonan beliau sebagai perdana menteri Harapan.

“Kedudukan Anwar sebagai pemimpin pembangkang sejak Harapan ditubuhkan adalah sesuatu yang diiktiraf Mahathir sebagai seorang ahli dan pemimpin politik bertaraf Avantgarde,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...