Header Ads

Kadar Faedah Pinjaman Rumah Wajar Turun – TPM


PRIHATIN… Kerajaan akan mencadangkan kadar faedah pinjaman perumahan diturunkan bagi mengurangkan beban pembeli, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Cadangan itu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) mengenai perumahan yang dipengerusikannya di Putrajaya pada Khamis akan dibawa kepada Kabinet untuk satu keputusan dalam masa terdekat, katanya.

Menurutnya kaedah faedah pinjaman yang tinggi merupakan antara sebab kira-kira 13,605 unit rumah yang berharga di bawah julat RM250,000 hingga RM500,000 tidak dapat dijual pada tahun lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan akan mengemukakan kertas cadangan berhubung kadar faedah pinjaman kepada bank komersial dan arahan lanjut akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).


Loading...

“Kadar faedah yang ditawarkan itu haruslah sangat kompetitif. Kita sudah menjalankan kajian perbandingan dengan negara lain dan kadar faedah kita berada di pertengahan antara negara maju dan negara membangun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Kadar pinjaman asas (BLR) di Malaysia adalah 4.65 peratus berbanding Australia 5.33 peratus dan Singapura 1.45 peratus.

Ditanya jika bank-bank tidak menyetujui cadangan itu, Ahmad Zahid berkata: “Cadangan itu dibentangkan oleh wakil daripada BNM. Berdasarkan bidang kuasa di bawah BNM, bank-bank komersial perlu mematuhi segala ketetapan yang ditentukan oleh BNM mengenai perkara itu.”

Timbalan perdana menteri berkata ramai pembeli rumah juga tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan dan tidak mempunyai slip gaji untuk membeli unit rumah.

Dalam mesyuarat yang membincangkan koordinasi, penyelarasan pelaksanaan dan menyelesaikan isu-isu berkaitan perumahan itu, Ahmad Zahid berkata pelaksanaan pembekuan sementara kelulusan program hartanah perumahan bernilai RM1 juta ke atas akan dikaji semula.

Beliau berkata pembangunan Analitis Data Raya bagi hartanah perumahan negara diperlukan bagi mendapatkan gambaran sebenar berkaitan situasi perumahan negara untuk membuat keputusan yang tepat.

Turut dibincangkan ialah hala tuju bagi mengatasi isu pengisian dan pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) melalui penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara dan memperkenalkan kaedah sewa untuk milik sebagai kaedah alternatif untuk membantu pemohon atau bakal pembeli unit PPR yang gagal memperolehi pembiayaan perumahan, katanya.

“Kerajaan faham beban kos rumah yang semakin meningkat dan kerana itulah kerajaan prihatin serta mengambil langkah proaktif bersama kerajaan negeri dalam soal pemilikan rumah.

“Kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan perumahan yang berkualiti serta mampu dimiliki bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat terpelihara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu turut mendengar cadangan BNM untuk membangunkan pangkalan data bersepadu, melaksanakan inisiatif berpusat bagi rumah mampu milik serta menjadikan sewaan rumah kediaman sebagai satu daripada alternatif yang boleh dilaksanakan melalui penggubalan Akta Penyewaan dan Tribunal Penyewaan.

- Mynewshub

No comments

Loading...