Header Ads

Juruiring Dr Mahathir Antara 19 Pegawai Kanan Polis Ditukar


KUALA LUMPUR, 21 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Juruiring Peribadi Polis kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Asisten Komisioner Mazli Mazlan, adalah antara 19 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditukar dan dinaikkan pangkat berkuat kuasa 12 Februari depan.

ACP Mazli akan memangku pangkat SAC akan mengambil alih jawatan SAC Datuk Mastor Mohd Ariff sebagai Komander Unit Tindakhas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman.

Mastor bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah KDN/KA (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.


Loading...

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, pertukaran itu antara lain membabitkan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff yang bertukar jawatan sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Jawatan beliau diganti Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim dengan memangku pangkat CP,” katanya.

Jawatan Zainal pula digantikan Ketua Penolong Pengarah JIPS (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, SAC Hashim Ali dengan memangku pangkat DCP, manakala tempat Hashim digantikan Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sapiai @ Shafien Mamat.

Tempat Sapiai @ Shafien pula bakal diisi Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Baharudin Mat Taib.

Kenyataan itu turut memaklumkan SAC Pentadbiran, Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Datuk Hashim Abd Jalil dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

ACP Pusat Pengajian Sains Perisikan & Kajian Strategik, Maktab PDRM Kuala Lumpur, ACP Mohd Shaharudin Baharom pula akan mengambil alih jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan, Bahagian Urusetia/Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Jabatan KDN/KA Kuantan, ACP Zulkafli Sariaat dilantik sebagai Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Kepolisan Am/Strategik/Siasatan), Jabatan KDN/KA Bukit Aman.

Penolong Pengarah Operasi (STAFOC), Skuad Taktikal Khas 1, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, ACP Denis Leong Soon Kuai pula dilantik sebagai Timbalan Ketua JSJ Siasatan/Perundangan, Sarawak. – Bernama

No comments

Loading...