Header Ads

Loading...

Hello, Apa Cerita 'Rasuah' Azmin?”


SHAH ALAM - Selepas sebulan menyerahkan dokumen dan bukti berkaitan penyelewengan dan salah laku Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sehingga ke hari ini, perkhabaran mengenai perkara itu masih belum diketahui.

Pengadu yang juga merupakan adik kepada Azmin, selebriti Azwan Ali berkata, beliau masih menunggu berhubung status kes berkenaan.

"Tiada apa-apa maklumat setakat ini. Saya ada menerima notifikasi mengenai perkara itu, tetapi ia secara umum sahaja. Saya dapat itu (notifikasi) pun seminggu selepas hantar 'bukti' berkenaan.


Loading...

"Selepas itu, tidak ada apa-apa lagi. Saya dah selesaikan tanggungjawab saya, dah mencabar dia (Azmin), kalau tiada apa-apa tindakan daripada SPRM maknanya terpulanglah kepada rakyat untuk menilai perkara itu," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Pada 20 Disember lalu, Azwan hadir ke Pejabat SPRM, Putrajaya bagi menyerahkan beberapa dokumen yang dikaitkan dengan isu 'rasuah' melibatkan Azmin.

Beliau pada hari berkenaan, hadir pada sekitar jam 10 pagi dengan membawa sepucuk sampul surat bersaiz A4.

Dalam pada itu, Azwan menjelaskan, percaya akan tahap profesional SPRM dalam menjalankan tugas mereka.

"Saya tidak akan tekan SPRM (berhubung isu ini), itu hak mereka untuk menilai kes ini," katanya.

Sementara itu, Azwan berkata, beliau masih mempunyai bukti-bukti baharu berkait dengan Azmin yang masih belum dilaporkan.

"Masih banyak bukti yang belum diserahkan kepada SPRM... nantikan, ini bukan cakap kosong ya," katanya lagi.

Sinar Online sedang mendapatkan maklum balas SPRM, berhubung isu ini.

- Sinar Harian

No comments

Loading...