Header Ads

Loading...

Hanya Rakyat Marhaen Makan Najis Dedak - Zainudin Maidin


KUALA LUMPUR: Hanya rakyat marhaen makan `najis dedak', kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin, menerusi laman Twitter rasminya, awal malam tadi.

'Najis dedak' itu dipercayai merujuk kepada amalan rasuah.

Kenyataan itu dikeluarkan Zainudin sebagai maklum balas kepada seorang pengguna Twitter, @Kabir_Akram, yang bertanyakan adakah penguatkuasaan undang-undang dikenakan kepada seorang isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berbeza dengan rakyat lain di negara ini.

Terdahulu, Zainudin menerusi status Twitternya berpendapat, penghinaan terhadap Dr Siti Hasmah tidak dapat diterima oleh rakyat, termasuk Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.


Loading...

Ia mendapat maklum balas daripada pengguna Twitter itu, yang berpendapat Dr Siti Hasmah adalah rakyat biasa seperti orang lain dan tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

@Kabir_Akram turut mempersoalkan mengapa perlu ada perbezaan pangkat dan layanan istimewa, dipercayai merujuk kepada Dr Siti Hasmah.

Susulan itu, Zainudin membidas kenyataan berkenaan dengan menegaskan Dr Siti Hasmah dan suaminya, yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan rakyat biasa seperti didakwa pengguna media sosial itu.

"Siapa kata dia (Dr Siti Hasmah) rakyat biasa? Dia, Tun (Dr Mahathir) bukan rakyat biasa macam kamu yang tiada jasa apapun kecuali makan 'najis dedak',"  katanya.

Jumaat lalu, polis mengambil keterangan daripada Dr Siti Hasmah berikutan pembabitan beliau dalam perhimpunan tanpa notis, tahun lalu.

Pada 10 September lalu, sekumpulan aktivis wanita menganjurkan perhimpunan dikenali sebagai 'Wanita Bantah Politik Toksik' di ibu kota bagi menyatakan bantahan terhadap politik toksik.

Antara tuntutan perhimpunan itu adalah bantahan terhadap politik toksik yang semakin berleluasa, membantah perlakuan berunsur keganasan, perbuatan ancaman terhadap individu dan sikap berunsur rasis serta seksis.

Ia juga bagi menolak calon daripada parti yang menggunakan keganasan dan juga politik toksik.

Dr Siti Hasmah dilaporkan memberi ucapan ringkas pada perhimpunan itu, yang menggesa wanita memainkan peranan mereka menghentikan politik toksik di negara ini.

- BH Online

No comments

Loading...