Header Ads

Gandingan Mahathir-Azizah Tunjuk Melayu Kuasai PH, Kata Penganalisis


GEORGE TOWN: Gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menerajui kerajaan Pakatan Harapan adalah usaha meyakinkan pengundi Melayu yang gabungan itu dikuasai orang Melayu sepertimana Barisan Nasional (BN), kata pemerhati.

Awang Azwan Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata langkah itu penting kerana BN dan Umno selama ini mendakwa PH dikuasai Lim Kit Siang dan partinya, DAP.

“Ramai pengundi Melayu percayakan propaganda itu dan risau tentang menyokong PH.


Loading...

“Memilih Dr Mahathir sebagai perdana menteri akan menarik lebih ramai penyokong Umno yang biasa menyokong dan menghormati Dr Mahathir yang pernah menjadi presiden Umno dan perdana menteri,” katanya.

Oleh itu, katanya, pilihan seperti itu akan memudahkan golongan pengundi Melayu bertukar kesetiaan mereka.

“Ini kerana Dr Mahathir pernah bersama Umno, dan menyokong beliau sama seperti menyokong idealisme sebuah parti berasaskan Melayu, seperti PPBM, yang diterajui Dr Mahathir dan bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Awang Azman.

Ahad lalu, PH pada konvensyennya menamakan Dr Mahathir dan Wan Azizah masing-masing sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya gabungan itu menewaskan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai pemilihan Wan Azizah, Awang Azman berkata penyertaan beliau penting kerana faktor keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi teras dalam mana-mana rundingan tentang pelantikan dalam PH.

“Ini kerana keluarga Anwar yang memulakan perjuangan itu, dan menjadi simbol gerakan reformasi, selepas melalui banyak perjuangan politik.

“Jadi gandingan Dr Mahathir dan Wan Azizah ialah fasa baharu PH meraih sokongan lebih besar dan lebih berimpak dalam meraih undi yang diperlukan untuk menawan Putrajaya,” katanya.

PH pada Ahad turut mengumumkan penyelesaian rundingan kerusi antara 4 parti itu di peringkat Semenanjung Malaysia.

PPBM akan bertanding di 52 kerusi, PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.

Awang berkata PPBM dan PKR lebih tertumpu kepada kerusi Umno, sementara DAP sudah mencapai tahap tepu dari segi kerusi majoriti Cina.

“Lebih penting ialah ia strategi politik terbaik untuk menangkis tanggapan PH dikuasai DAP atau etnik Cina, sentimen yang sering dimainkan BN.”

Sumber: FMT

No comments

Loading...