Header Ads

Loading...

Ezam Tak Rela Dr Mahathir Calon PM, Tetap Mahu Azmin


Mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tokoh yang masih 'berbisa' bekas ketua pemuda PKR sebaliknya beranggapan menamakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) bukanlah tindakan tepat.

Kata Datuk Ezam Mohd Nor, HARAPAN mempunyai ramai tokoh muda yang boleh diketengahkan sebagai calon perdana menteri jika mereka berjaya mengalahkan BN dalan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Antara nama yang dipetik Ezam ialah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, bekas menteri besar Kedah yang kini menjadi Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

"Apabila HARAPAN menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri untuk PRU ke-14, saya percaya ianya langkah yang salah dan ke belakang.


Loading...

"Negarawan seperti Dr Mahathir seharusnya perlu kekal sebagai negarawan. Beliau pula bukan negarawan biasa, sebaliknya negarawan ulung dan terbilang.

"Negara perlukan Dr Mahathir sebagai negarawan, bukan membiarkan beliau kembali menjadi politikus yang oversupply (berlebihan) di Malaysia ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

HARAPAN semalam mengumumkan secara rasmi calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri untuk ditawarkan kepada pengundi sempena PRU yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Selain Dr Mahathir, HARAPAN meletakkan keyakinan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

Jika berjaya menguasai Putrajaya langkah segera untuk mendapatkan pengampunan diraja buat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilakukan.

Dakwa ada agenda tertentu

Bekas timbalan perdana menteri itu kemudian dijadual diangkat menggantikan Dr Mahathir apabila proses berkenaan selesai.

Ezam adalah antara penggerak awal reformasi sejurus selepas Dr Mahathir memecat Anwar dalam krisis kepimpinan Umno pada 1998.

Ezam mempunyai sejarah yang berwarna-warni. Selain pernah kembali menyertai Umno beliau juga pernah menjadi pegawai kanan di Kementerian Kewangan. Beliau juga pernah dilantik menjadi senator.

Untuk rekod, Menteri Kewangan Malaysia ialah Datuk Seri Najib Razak.
Ezam bagaimanapun meletakkan jawatan dan memohon menyertai BERSATU. Selepas beberapa ketika beliau mengumumkan penubuhan sebuah parti baru. Namun usaha itu juga tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Tidak dapat dipastikan apakah status permohonan Ezam untuk menyertai BERSATU ketika itu.

Baru-baru ini Ezam menamakan Azmin sebagai salah seorang calon yang dilihatnya layak menjadi perdana menteri. Untuk digandingkan dengan menteri besar Selangor itu Ezam menamakan pula anak Dr Mahathir, Mukhriz.

Kata Ezam beliau diberitahu ada kelompok tertentu dalam HARAPAN mempunyai agenda tersendiri apabila menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Menurutnya tindakan itu dibuat supaya mereka dapat menafikan peluang untuk tokoh muda terbabit menjadi "kepala perang" sekali gus "menutup peluang" kelompok terbabit kemudiannya.

"Amat malang apabila di saat negara-negara lain di dunia memberikan peluang dan menjulang tokoh muda, kita masih di takuk lama.

"Bukan kerana kita tidak ada tokoh muda yang handal dan kental, tetapi kerana permainan politik sempit beberapa kerat orang yang takut hilang kuasa.

"Lebih malang, mereka yang takut ini juga adalah daripada kalangan pihak yang menggelar diri mereka pejuang rakyat, reformasi dan progresif," katanya.

Sumber: malaysiakini

No comments

Loading...