Header Ads

Loading...

Ekonomi Itu Cerita Rakyat, Kata Pakar Ekonomi ‘Berjiwa Rakyat’

Dr Muhammed Abdul Khalid

SEJAK menerbitkan buku mengenai ketaksamaan ekonomi, “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth” in Malaysia yang laris pada 2014, Dr Muhammed Abdul Khalid tidak lupa satu peristiwa bagaimana orang ramai memberi reaksi kepada kupasannya mengenai ekonomi negara.

Muhammed baru saja selesai menyertai sebuah forum di Publika Shopping Gallery di Kuala Lumpur apabila didatangi oleh seorang pemuda dalam lingkungan umur 30-an, meminta beliau menandatangani buku tulisannya yang sudah diterbitkan dalam edisi terjemahan ke Bahasa Melayu dengan tajuk “Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan Di Malaysia”.

“Saya tanya datang dari mana, dia kata dia menaiki motosikal berseorangan dari Pulau Pinang setelah dia tahu saya akan menjadi ahli panel di forum di galeri itu. Saya tanya dia kerja apa, dia kata pengawal keselamatan.

"Dia kata ‘saya datang semata-mata nak ucapkan terima kasih kerana bercakap bagi pihak kami’. Selepas itu dia minta kebenaran sekiranya dia boleh peluk saya.

Loading...


“Saya agak terganggu dengan insiden ini, sebab saya rasa ada macam tekanan, mungkin rakyat mengharapkan sesuatu dan apabila kita suarakan, rakyat menghargainya,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini.

Hanya lebih kurang seminggu sebelum itu, Muhammed muncul di stesen televisyen RTM1 dan TV3 bercakap mengenai realiti ekonomi Malaysia menjelang pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Rakaman video program bual bicara itu tular di media sosial, isu pokok mengenai ekonomi negara jadi bualan di mana-mana dan nama anak kelahiran Pulau Pinang ini jadi sebutan sehingga diberi gelaran "pakar ekonomi berjiwa rakyat".

“Selepas video itu menjadi tular, saya sedar satu perkara, iaitu apabila bercakap atau menulis, kebanyakan penganalisis atau ahli ekonomi cenderung menggunakan bahasa yang diguna pakai oleh pembuat dasar dalam kerajaan.

“Mentor saya, iaitu pakar ekonomi ternama di negara kita, mengingatkan saya bahawa strategi itu salah. Kumpulan sasaran kita bukan pembuat dasar tetapi seharusnya rakyat.

"Kalau saya cakap, rakyat tak faham tak ada makna, kalau saya tulis rakyat tak faham pun tak ada makna,” katanya lagi yang selesa bercakap dalam dialek Pulau Pinang.

Daripada penjual kuih ke pakar ekonomi

Muhammed, 43, adalah bukti hidup bagaimana peluang pendidikan yang berkualiti adalah kunci utama yang membuka banyak pintu untuk mengubah hidup.

Ibunya pernah jadi guru sebelum menjadi suri rumah. Untuk meringankan beban keluarga, Muhammed bersama adik kembarnya turut menolong menjual kuih setiap pagi sebelum ke sekolah. Kesibukan itu bagaimanapun tidak menjejaskan tumpuannya kepada pelajaran, tambahan pula latar belakangnya anak seorang guru.

“Saya rasa saya ini sangat bertuah, mak saya tekankan pendidikan. Ketika orang kampung pergi lawatan ke sana sini, mak saya tak pernah ikut, dia simpan duit untuk kami sekolah. Saya sekolah kampung saja dekat Tanjung Tokong. Selepas itu saya masuk ke sekolah biasa di George Town, tapi turut tergolong sebagai sekolah ‘samseng’ juga .

“Saya dapat keputusan bagus, Alhamdulillah, diberi peluang untuk masuk ke sekolah sains di Kedah. Kalau saya tak masuk sekolah ini, rasanya sekarang ini saya kerja biasa-biasa saja agaknya,” katanya mengimbas zaman remajanya di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa di Sungai Petani, Kedah.
Muhammed berkata apa yang berlaku padanya adalah bukti bahawa kualiti pendidikan yang baik amat penting.

"Bukan sebab budak-budak di sekolah kampung saya tak pandai. Tetapi di sekolah sains itu pelajar bersaing. Saya tak boleh tidur awal sangat sebab budak katil sebelah saya baca buku. Saya tak boleh nak main bola sepak lama sangat apabila tengok budak katil sebelah kiri pun baca buku,” katanya.


Muhammed berkata keadaan ini menyebabkan persekitaran di sekolah berasrama penuh menjadi kompetitif.

“Kalau nak kata cikgu di sekolah biasa tak bagus, cikgu di asrama penuh pun cikgu sekolah kerajaan juga. Sebab itu jika orang kata sekolah kerajaan tak bagus, tak berapa betul.

“Selepas sekolah menengah, saya mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam ijazah sarjana muda di Amerika Syarikat,” katanya.

Muhammed mendapat ijazah pertamanya dalam bidang kewangan dari University of Southern California, Los Angeles dan kemudian menerima sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya.

Atas dorongan Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram yang ketika itu mengajar di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Muhammed meneruskan pengajian peringkat doktor falsafah di sebuah universiti terkemuka di Perancis, iaitu Institut Kajian Politik Paris (Sciences Po Paris).  Beliau lulus PhD dengan kepujian kelas pertama.

Muhammed sempat jadi pembantu kepada profesornya dengan mengajar bidang ekonomi makro di situ sebelum pulang ke Malaysia untuk menjawat tugas sebagai felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau kemudian berkhidmat di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia yang ketika itu dipimpin oleh pakar ekonomi tersohor Prof Dr Mahani Zainal Abidin.

Muhammed kemudian dilantik sebagai ketua ekonomi di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan seterusnya menjadi pengarah penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Beliau kini pengasas dan ketua pakar ekonomi DM Analytics, sebuah syarikat perunding polisi yang mempunyai pelbagai klien termasuklah agensi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia.

Turun padang

Berbeza dengan pakar ekonomi biasa, Muhammed lebih suka berada di lapangan berbanding di pejabat untuk melihat sendiri keadaan masyarakat serta berbual dengan mereka.

“Saya suka turun ke padang. Sebab kalau kita nak buat kerja berkait dengan polisi, kita tak boleh hanya duduk di pejabat bertali leher.



“Kita kena berjalan di luar untuk merasai situasi rakyat. Apabila kita bercakap tentang sesuatu isu itu, ia harus berdasarkan realiti, fakta dan data,” katanya.
Pada 2013, Muhammed yang pada ketika itu jadi penyelidik di UKM dan Dr Lee Hwok Aun dari Universiti Malaya menggemparkan negara selepas mendedahkan kajian mereka yang mendapati ada diskriminasi terhadap kaum Melayu untuk dipanggil temu duga mendapatkan pekerjaan dalam syarikat dimiliki orang Cina dan syarikat antarabangsa di Malaysia.

Biarpun analisis ekonominya sering kali tidak senada dengan naratif yang cuba ditonjolkan kerajaan, Muhammed menegaskan beliau bukan seorang yang bersikap anti kerajaan.

“Saya bukan anti kerajaan, itu tak betul. Benda yang baik tak payahlah saya nak cakap banyak. Polisi yang tidak berapa baik kita perlu tonjolkan supaya ia boleh diperbaiki," katanya.

“Saya selalu berpegang pada prinsip pengarang terkemuka Indonesia Pramoedya Ananta Toer. Katanya, ‘dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya, iaitu keberanian. Kalau tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini?’,” soalnya.

Muhammed berkata apa yang beliau lakukan ini adalah satu tanggungjawab – kepada masyarakat.

"Kita diberi sedikit ilmu, maka ia harus digunakan untuk kebaikan rakyat. Bak kata penyair Rendra, ilmu haruslah digunakan untuk pembebasan, bukan untuk penindasan," katanya.


“Takkan kalau ada polisi yang tidak betul, saya berdiam diri.  Saya tidak mahu nanti ditanya anak cucu apa saya buat untuk pastikan generasi mereka mendapat kehidupan yang lebih baik. Tak mungkin saya nak kata saya tak buat apa, hanya makan karipap dan minum teh tarik, kot?"

Sumber: The Malaysian Insight

No comments

Loading...