Header Ads

Dua Remaja Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Bunuh 23 Penghuni Tahfiz


KUALA LUMPUR -- Dua remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, dalam kejadian kebakaran pada September 2017.

Kedua-dua remaja itu membuat pengakuan selepas 23 pertuduhan tersebut dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Semasa ditanya jurubahasa sama ada  mereka mengaku bersalah atau tidak terhadap kesemua pertuduhan itu, kedua-dua remaja berkenaan yang memakai T-shirt dan seluar panjang  putih, menjawab "tidak mengaku".

Dua remaja lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017,  mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Loading...


Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan  bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun .

Namun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Terdahulu,  Hakim Azman mengingatkan pihak media yang membuat laporan kes itu supaya tidak mendedahkan identiti dan maklumat kedua-dua remaja itu kepada umum seperti nama, tempat tinggal dan sekolah kerana mereka adalah tertuduh juvana.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Michelle Ng.

Peguam Ariff  Azami Hussein bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pusat tahfiz dan sebahagian keluarga mangsa.

 Nurakmal Farhan juga mengemukakan bantahan awal  kepada mahkamah supaya pihak pembelaan yang diwakili peguam daripada Tetuan Gobind Singh Deo dikecualikan atau dilarang mewakili kedua-dua  tertuduh.

“Mana-mana peguam, atau pegawai undang-undang daripada firma berkenaan dilarang atau dikecualikan mewakili kedua-dua tertuduh dengan alasan firma berkenaan telah mewaikili dua tertuduh lain di Mahkamah Majistret yang akan menjadi saksi utama kes ini.

“Ini kerana pihak pembelaan telah mempunyai akses yang bakal digunakan semasa perbicaraan,”katanya.

Michelle memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk mendapatkan arahan daripada firma guamannya kerana pihaknya tidak menerima sebarang  notis berhubung isu berkenaan.

Mahkamah menetapkan 19 Feb untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

No comments

Loading...