Header Ads

Dr Mahathir Ada Kebijaksanaan, Akalnya Tajam Berbanding Sesiapapun - Muhyiddin

Foto: BH Online

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad membangkitkan semula dakwaan bahawa terdapat 900 pengundi yang diragui dengan nama “Fatimah Ismail” dalam daftar pemilih.

Katanya, 900 nama itu didaftarkan di pelbagai pusat undi seluruh negara

“Baru-baru ini saya dapat salinan daftar pemilih untuk pilihan raya umum akan datang. Kami dapati banyak percanggahan yang sengaja dibuat untuk beri kemenangan kepada Najib (Razak). Ada 900 nama Fatimah Ismail dalam senarai itu yang dilahirkan pada hari yang sama,” kata Dr Mahathir.

Dakwaan berhubung kewujudan 900 pengundi dengan nama yang sama ini mula dibangkitkan sejak tahun 2013.

Seorang jurucakap Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (Merap), Lee Wee Tak pada waktu itu membangkitkan bahawa pengundi berkenaan dikesan di Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu.


Loading...

Katanya daripada jumlah 900 orang itu, terdapat 14 orang Fatimah Ismail yang berkongsi tarikh lahir sama.

Seramai 10 orang daripadanya dikesan mempunyai kad pengenalan yang dikeluarkan di negeri yang sama, katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini pada waktu itu.

Dr Mahathir dalam ucapannya pada malam tadi turut mendedahkan, terdapat pengundi dalam kawasan Parlimen Langkawi yang kini terpaksa membuang undi di Alor Setar, ibu negeri Kedah.

Langkawi adalah sebuah pulau dan mengubah pusat pengundian ke Alor Setar sangat menyusahkan kerana kemungkinan pengundi tidak akan turun mengundi kerana terpaksa menempuh perjalanan jauh.

“Apabila mereka pergi ke pusat undi dan mendapati nama mereka tidak ada di sana dan mereka perlu pergi ke Alor Setar, mereka mungkin tak pergi kerana tak ada masa,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya ketika pelancaran penubuhan Bersatu Bahagian Setiawangsa di Kuala Lumpur malam tadi.

“Ribuan pengundi Langkawi tidak akan buang undi mereka kerana pusat undi jauh. Adalah menjadi harapan Najib untuk membuatkan Pakatan Harapan hilang 1,000 undi,” kata Dr Mahathir lagi.

Bukan hanya di Langkawi, kerana perkara itu berlaku di seluruh negara. Beliau menambah antara perkara pelik lain dikesan adalah terdapat 9 juta pengundi dalam daftar pemilih didaftarkan tanpa alamat penuh mereka.

“Ada yang hanya nombor rumah tapi tiada nama jalan, ada juga yang ada nama jalan tapi tiada nombor rumah. Ada juga rumah yang pengundinya ada lebih 70 orang. Dan kami pergi periksa satu alamat di Alor Setar yang ada 11 pengundi berdaftar tetapi bila kami di sana, hanya ada dua. Kami tak tahu mana datang yang lain,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga mendakwa parti pemerintah berpandangan orang Melayu mudah disogok untuk menyokong mereka.

“Jadi mereka pisahkan orang Melayu dari Cina supaya mereka boleh sogok (Melayu) untuk undi Umno dan BN. Ini melanggar undang-undang tetapi itulah situasi semasa di negara kita,” kata Dr Mahathir lagi kepada hampir 500 penyokong Bersatu yang hadir mendengar ucapannya semalam.

Katanya, situasi semasa negara ini menyebabkan ada rakyat Malaysia enggan mengakui mereka adalah warganya.

“Berikan Najib satu penggal lagi, kita akan hilang semua tanah dan kita akan terpaksa tinggal sebelah hutan atau mungkin dalam hutan,” kata Dr Mahathir.

Katanya, tanpa pembangkang yang kuat, Najib sukar dijatuhkan.

“Jika kita tak bekerjasama dan terus bersaing sesama sendiri, kita akan kalah dan Najib akan terus berkuasa. Kerana itulah kita perlu bersatu,” kata Dr Mahathir.

Katanya lagi parti Bersatu akan terus cemerlang dan beliau yakin menang PRU14 walaupun pihak pembangkang tidak mempunyai sokongan kewangan yang mencukupi.

“Kita tiada duit tetapi semangat juang kita tinggi yang lebih bernilai berbanding duit. Mereka rela berkorban buat kerja sukarela supaya penyangak dapat disingkirkan pada pilihan raya akan datang. Kami yakin yang kami ada cukup orang dan penyokong yang bukanlah ahli (parti) yang menyertai perjuangan ini,”

Dr Mahathir juga mengakui PH akan mewarisi masalah kerajaan sekarang sekiranya menang pilihan raya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada ucapannya sebelum itu berkata, beliau tidak cemburu andai Dr Mahathir menjadi perdana menteri apabila PH berjaya menakluk Putrajaya.

“Saya tak cemburukan dia. Ia bukan tugas mudah. Dr Mahathir ada kebijaksanaan dan akalnya lebih tajam berbanding sesiapapun termasuklah Najib. Kita perlukan dia. Kerana itu kita akan terus berjuang,” kata Muhyiddin. 

Sumber: The Malaysian Insight

No comments

Loading...