Header Ads

Dr M Tua Tetapi Masih Sihat Dan Boleh Jadi PM, Kata PPBM


PETALING JAYA: PPBM menyelar pendakwah kontroversi, Zamihan Mat Zin yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad tua bangka, dengan berkata pengerusi Pakatan Harapan itu masih sihat dan mampu kembali memerintah negara.

Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Mohd Nor menyifatkan Zamihan berfikiran lama kerana umur bukan penghalang untuk Dr Mahathir yang berpengalaman menjadi perdana menteri semula.

“Itu pemikiran lama, yang penting dia (Dr Mahathir) sihat dan walaupun tua, masih kuat dan mempunyai pengalaman dan pemikiran yang tajam.

“Jadi tak berbangkit soal itu. Dia boleh ke mana sahaja dan tidak perlu banyak cakap. Tunggu sahaja pilihan raya umum nanti,” katanya kepada FMT.

Semalam, Zamihan menasihatkan Dr Mahathir bertaubat atas kesilapannya sepanjang 22 tahun memerintah negara dan jangan terbabit dalam politik lagi, susulan pemilihannya sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan.


Loading...

“…masa kita berkuasa kita buat macam-macam. Kita sanggup keluarkan arahan yang melukakan hati rakyat, meragut nyawa rakyat. Tetapi bila orang lain memerintah kita kata tak betul, tak benar, tak maju, tak patut.

“Bagi saya, orang tua yang sudah berkuasa lebih 22 tahun sepatutnya masuk pondok, mengaji kitab, zikir banyak-banyak, bertaubat mohon maaf kepada manusia atas kesilapan yang lalu.

“…dan membuat amal jariah yang banyak untuk akhirat. Sepatutnya tak payah fikir politik kalau sudah tua bangka, nak dekat mati ini,” kata pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu turut mendakwa Dr Mahathir kembali aktif berpolitik dengan niat tidak baik kerana beliau cemburu dengan kuasa dimiliki pemimpin sedia ada.

Mengulas lanjut, Kamarudin menyifatkan dakwaan Zamihan itu dangkal dan nakal.
“Soal cemburu anda tidak boleh kata demikian kerana jika begitu orang yang tidak suka (Datuk Seri) Najib (Razak) memerintah juga bermakna cemburu dengan Najib.

“DAP, PKR, Amanah yang menentang Najib juga cemburu dengan Najib. Ini satu hujah yang dangkal dan nakal.”

Seorang lagi pemimpin PPBM, Datuk Rais Hussin mengingatkan Zamihan perlu sentiasa menjaga nama baik sebagai agamawan dengan tingkah laku berkelakuan dan pertuturan sopan.

Pengarah Biro Strategi dan Dasar PPBM itu berkata, apa yang dilakukan Dr Mahathir bukan kesalahan kepada agama agama mahupun undang-undang negara.

“Beliau dengan usia yang menjangkau 93 tahun tetap berdiri dan ke seluruh negara menjalankan penerangan dan melawan rasuah dan salah guna kuasa yang merosakkan agama, bangsa dan negara.

“Bukankah ini termasuk antara salah satu jihad yang dianjur agama? Tetapi dengan segala isu ini, Zamihan malangnya senyap dan langsung tidak berkata apa.

“Bukankah dengan diam dan takut mengulas bahkan meredai dosa rasuah pemimpin negara itu sendiri adalah dosa besar?” soalnya kepada Zamihan.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Tariq Ismail turut membidas Zamihan dan mempersoalkan sejak bila serta hadis mana di dalam al-Quran menyatakan DAP haram.

“Kita tak perlu takut dengan DAP. Kita sudah lama dipengaruhi permainan bahawa DAP hanya tolong orang Cina.

“Ini salah, DAP adalah parti pelbagai kaum. Dr Mahathir sendiri mengaku perlembagaan DAP dalam Bahasa Melayu dan kita boleh lihat ramai orang Melayu menyertai DAP. Orang Cina hanya sokong DAP, mereka tolak MCA kerana karenah pemimpin dia.”

Beliau mengulas kenyataan Zamihan yang berkata haram untuk umat Islam mengundi DAP yang menolak hukum-hakam Islam kerana membantah usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi memberikan kuasa menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam.

Sumber: FMT

No comments

Loading...