Header Ads

Cabaran Tun M Tidak Boleh Dipandang Sepi Kerajaan - Penganalisis Politik


KUALA LUMPUR: Cabaran dan tuduhan yang dilontarkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh dipandang sepi dan dipinggirkan oleh kerajaan, kata beberapa penganalisis politik.

Mereka beranggapan sebahagian kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu perlu diberikan respon segera sebelum ia mengelirukan rakyat.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, terdapat golongan rakyat yang masih memandang tinggi ketokohan Tun Mahathir memandangkan beliau merupakan bekas perdana menteri selama 22 tahun.

Loading...


"Perdana Menteri tak boleh memandang sepi atau cuba meminggirkan kenyataan Mahathir, kerana pengaruh beliau agak kuat, karismanya ampuh sekali, rakyat boleh terpengaruh atau berfikir dua tiga kali.

“Sebahagian kenyataan-kenyataan Mahathir perlu diberikan respon kerana ia boleh mengelirukan persepsi rakyat,” katanya.

Mempunyai pandangan yang sama Pemerhati Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berkata, sekiranya cabaran itu terus diketepikan, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan selesa.

“Saya percaya cabaran perlu dilihat dan diberi kepentingan, bukan saja dari Perdana Menteri tetapi juga barisan kepimpinan di setiap negeri memandangkan kepimpinan negeri akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang.

“BN tidak boleh menolak pengaruh yang dibawa Tun Mahathir lebih-lebih lagi beliau disertai oleh bekas timbalan perdana Menteri serta bekas menteri besar. Tun Mahathir juga tahu strategi BN sebelum ini dan ia memberi kelebihan dalam mempengaruhi pengundi luar bandar,” kata Dr Sivamurugan.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah dinamakan calon perdana menteri seandainya Pakatan berjaya mendapatkan mandat rakyat dalam pilihan raya kelak.

Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mencadangkan debat di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat bagi membahaskan isu negara.

- Astro Awani

No comments

Loading...