Header Ads

Loading...

Bincang Semula Pembahagian Kerusi: Harapan


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mencadangkan platform Pakatan Harapan (Harapan) digunakan untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi susulan wujud ketidakpuasan hati beberapa kumpulan dan individu dalam Amanah mengenainya.

Salahuddin berkata, dua perkara akan dibawa ke meja rundingan iaitu mengatur semula kerusi yang dirasakan boleh menjadi faktor kemenangan dan berbincang mengenai kerusi negeri.

“Rundingan mengenai pengagihan kerusi ini kita bincang dari semua aspek seperti faktor kemenangan, kekuatan parti, sokongan pengundi dan kekuatan jentera. Semua ini kita adunkan dan kita bincang dalam menentukan kerusi.


Loading...

“Jalan penyelesaian kepada situasi sekarang adalah melalui Harapan iaitu kita atur balik kerusi yang kita rasa boleh berbincang tentang faktor kemenangan dan masih ada kerusi-kerusi negeri masih dalam proses rundingan. Masih ada jalan keluar dan dapat kita selesaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Amanah Johor dilaporkan memboikot Konvensyen Pakatan Harapan 2018, kerana parti itu hanya mendapat dua kerusi di Johor.

Manakala, Pengarah Pilihanraya Amanah, Dr Hatta Ramli didakwa meletak jawatan sebagai Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan selepas tidak diberikan kerusi parlimen Titiwangsa, namun dinafikan beliau.

Amanah Kuala Lumpur juga menyifatkan kelmarin sebagai hari duka kerana tidak mendapat 12 parlimen di Kuala Lumpur.

Salahuddin berkata, beliau menghormati pendirian Amanah Johor dan sesetengah individu yang rasa kecewa dalam soal pembahagian kerusi.

“Itu hak mereka dan kekecewaan mereka kerana Amanah ditubuhkan di Johor tetapi hanya dua kerusi diperuntukkan kepada Amanah.

“Biar mereka lahirkan rasa ketidakpuasan hati, namun tindakan mereka untuk tidak hadir ke Konvensyen Pakatan Harapan tidak akan membawa kepada timbul usaha meruntuhkan Harapan yang telah dibina selama ini.

"Kita akan berusaha mencari jalan-jalan perbincangan dalam Harapan,” katanya.

Jelasnya, ketidakpuasan hati tersebut masih berada dalam kerangka demokrasi dan tidak akan menjurus kepada perpecahan dalam Amanah.

“Saya rasa, kita perlu ambil pendekatan positif kerana mereka hanya suarakan pandangan agar didengari.

"Pimpinan peringkat nasional akan ambil daya usaha supaya perkara itu dapat dibincangkan secara harmoni atas semangat dalam Harapan,” katanya.

- Sinar Harian

No comments

Loading...
loading...